
KUALA KRAU: Usaha membangunkan kehidupan warganegara merupakan tanggungjawab pemimpin agar dapat mengecapi kesejahteraan dan menuju hakikat penciptaan manusia menuju keredhaan Allah.
Sehubungan itu, memberdayakan kehidupan bukan hanya memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa ujian, tetapi juga penghargaan buat kalangan mencapai kejayaan atau dorongan untuk lebih baik.
ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim turut mengadakan inisiatif seumpama apabila menawarkan pendaftaran akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) secara percuma kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran.
Buat masa ini, tawaran tersebut disediakan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam peringkat diploma dan ijazah.
Pembukaaan akaun ini bertujuan membantu dan memudahkan urusan ibu bapa dan pelajar serta dalam masa yang sama meringankan beban mereka dengan cara membiayai kos pendaftaran akaun.
Bagi fasa pertama ini, tawaran dibuka kepada 100 pelajar terawal yang menetap dalam DUN Jengka di mana pelajar hanya perlu mengisi borang dan menyerahkannya ke Pejabat ADUN di mana urusan yang selebihnya akan diuruskan.
Antara keistimewaan akaun SSPN ini adalah ibubapa dan ibubapa angkat atau penjaga yang sah dari segi undang-undang akan mendapat pelepasan cukai sehingga RM8,000 dan perlindungan takaful serta khairat kematian sehingga RM1 juta.
Hal ini tertakluk kepada terma dan syarat dan yang paling penting simpanan dalam akaun ini dijamin oleh kerajaan.
Ustaz Shahril menyatakan harapan agar bantuan ini dapat membantu memudahkan pembukaan akaun bagi meringankan beban ibu bapa terutamanya semasa tempoh pandemik COVID-19 ketika ini.
Beliau juga mengharapkan supaya pelajar lepasan SPM atau STAM yang berminat melanjutkan pelajaran boleh hadir ke Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Jengka untuk mendapatkan borang.
Waktu operasi adalah pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 2 petang di mana sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh berhubung di talian 0183874100 atau 094675210. – HARAKAHDAILY 27/6/2021











