Muslimat PAS dukung inisiatif JAKIM banteras LGBT

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia mendukung penuh usaha kerajaan mewujudkan task force bagi menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang diurus setia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, pihaknya yakin dan percaya langkah itu sangat wajar dilaksanakan bagi menangani gejala tidak sihat yang semakin berleluasa di Malaysia terutamanya di laman sosial.

Menurutnya, golongan tersebut bertindak keterlaluan apabila telah berani melakukan pengantunan seksual (sexual grooming) terhadap kanak-kanak di bawah umur di media sosial.

- Advertisement -

“Ini bermakna mereka langsung tidak peka bahawa perbuatan  mereka telah melanggar prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara.

“Mereka berani mempromosikan gaya hidup yang melanggar nilai-nilai hidup seorang Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, semua pihak perlu berganding bahu serta berusaha bersama kerajaan termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi membanteras kegiatan tidak bermoral ini daripada berleluasa.

Tegasnya, kerajaan wajar bertegas terhadap mana-mana pihak yang menunjukkan tanda sokongan kepada golongan tersebut yang memberi kesan negatif terhadap generasi muda dan belia di negara ini.

Kata Ustazah Nuridah, meskipun pihaknya acapkali melakukan pelbagai pendekatan yang berhikmah bagi menarik mereka kembali ke jalan yang diredai Allah namun seringkali golongan LGBT menarik semula mereka yang telah bertaubat.

Oleh itu beliau mencadangkan agar pendekatan melalui pendidikan yang berterusan dilihat mampu memberi kesedaran terhadap golongan berkenaan agar dapat kembali ke pangkal jalan.

Katanya, usaha untuk meminda Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] dan undang-undang tatacara jenayah Syariah bagi memastikan undang-undang sedia ada mendukung usaha tersebut.

“Dakwah dengan didukungi kekuatan undang-undang dan penguatkuasaan yang mantap diharapkan dapat membuahkan hasil,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengharapkan agar usaha menghasilkan Tatacara Pengendalian Piawai atau prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan aduan berkaitan kesalahan mempromosi gaya hidup LGBT amat diharapkan menghasilkan natijah yang terbaik.

Dalam pada itu, Ustazah Nuridah turut menyeru kepada rakyat Malaysia untuk menyokong usaha pembaikan golongan tersebut dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

“Insya-Allah Dewan Muslimat bersedia untuk membantu melalui entiti yang wujud seperti Lajnah Tarbiyah atau Lajnah Dakwah,” ujarnya.

Pada Khamis, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan akan mewujudkan Task Force bagi menangani isu LGBT berkenaan yang selari dengan Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM.

Keputusan itu diputuskan di dalam Mesyuarat Khas Task Force Menangani Isu LGBT yang diurusetiakan oleh JAKIM dan beberapa agensi terlibat iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia. – HARAKAHDAILY 25/6/2021

- Advertisement -