
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan Labuan dijangka akan menjadi bandar pertama yang mencapai imuniti berkelompok (herd immunity), lebih awal berbanding Amerika Syarikat.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, 80 peratus daripada rakyat Wilayah Persekutuan Labuan akan menerima vaksin pada pertengahan Julai ini.
“Ini bukan sebut sombong dan takabur, tetapi sebahagian Wilayah Persekutuan seperti Wilayah Persekutuan Labuan, akan capai herd imunity lebih awal daripada Amerika Syarikat (AS).
“Julai, minggu kedua, 80 peratus daripada penduduk Wilayah Persekutuan Labuan, semuanya akan menerima vaksin dan menjadikan wilayah pertama mencapai level herd immunity.
“Yakni lebih awal daripada London, New York,” katanya pada program Bicara Harakah TV yang turut menampilkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor malam tadi.
Menurutnya juga suntikan dos pertama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah mencecah 60 peratus, manakala di AS, iaitu negara yang awal menghasil vaksin hanya berada pada tahap 43 peratus dan England 43.9 peratus rakyat menerima vaksin penuh.
Malah Malaysia berada pada tahap tertinggi jumlah vaksinasi dan kadar vaksinasi berbanding negara-negara ASEAN yang lain.
“Maka, Kuala Lumpur tidak mahu ketinggalan kerana dia sebagai ibu negara, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran.
“Alhamdulillah, sekarang dos pertama sudah pun mencecah hampir 60 peratus dan saya meletakkan sasaran supaya Wilayah Persekutuan khususnya Wilayan Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mesti mencapai 80 peratus vaccination sebelum sambutan Hari Merdeka.
“Walaupun dalam pelan nasional iaitu Disember mengikut jadualnya, tetapi untuk ibu negara, pusat pentadbiran, pusat aktiviti komersial dan sebagainya, dengan izin Allah, berkat usaha kita sekarang.
“Matlamat saya, ibu negara Malaysia akan mencapai herd immunity lebih awal daripada kebanyakan bandar-bandar lain di dunia, iaitu sebelum 31 Ogos,” ujarnya.
Katanya, bagi mencapai jangkaan tersebut di Wilayah Persekutuan, pihaknya berusaha memastikan penduduk Wilayah Persekutuan mendaftar dalam PICK melalui MySejahtera.
Menurut beliau semua penduduk mesti didaftarkan supaya boleh masuk dalam perancangan untuk program vaksinasi. – HARAKAHDAILY 24/6/2021











