
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) sembah maklum berharap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk mencadangkan agar Proklamasi Darurat yang akan tamat 1 Ogos 2021 dikekalkan.
Pengerusi Mohd Zai Mustafa berkata, darurat hendaklah dikekalkan sehingga masa yang sesuai apabila pandemik virus Covid-19 dapat diputuskan dan komuniti imunisasi mencapai tahap maksimum sehingga 90 peratus.
Katanya, rakyat sedia maklum tuanku sangat mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat semasa mengisytiharkan Proklamasi Darurat sebelum ini.
“Keadaan yang sama juga masih berterusan sehingga sekarang dengan jumlah bilangan jangkitan masih kekal ribuan angka.

“UMMAH menyokong saranan pakar perlembagaan Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof yang menyifatkan darurat satu-satunya cara untuk menangguhkan pilihan raya dalam situasi wabak Covid-19,” katanya pada kenyataan hari ini.
Petang ini difahamkan berlangsung Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara antaranya dijangka meneliti pandangan pemimpin-pemimpin politik yang disampaikan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong minggu lepas.
Malah menurut Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Ahmad Fadil Shamsuddin pakar-pakar dari agensi kerajaan turut dijadual memberi sembah taklimat mengenai kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi.
Mohd Zai juga berkata, UMMAH gembira di atas perkenan tuanku menerima mengadap 18 pemimpin politik dan pakar-pakar dari agensi kerajaan bagi mendengar pandangan berkaitan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19.
Katanya juga sasaran 150,000 suntikan sehari dijangka mengambil masa selama 213 hari atau tujuh bulan lagi bagi mencapai vaksinasi 32 juta rakyat Malaysia.
“Maka sekurang-kurangnya darurat perlu dikekalkan selepas 1 Ogos 2021 selama 8 bulan lagi (sehingga Mac 2022) jika keadaan jangkitan dan suntikan vaksin mencapai sasaran sebagaimana dirancangkan kerajaan,” ujarnya.
Menurutnya juga semua pihak perlu bekerjasama mengerakkan kempen suntikan vaksin bagi memutuskan rantaian virus Covid-19 membolehkan darurat ditamatkan sebelum diadakan Pilihan Raya Umum ke-15.
“Semua pihak wajar memainkan peranan ke arah menyelamatkan negara daripada wabak. Rakyat dan negara mesti yakin untuk memenangi bagi memutuskan virus pandemik Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2021











