
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Tiada perkembangan atau maklum balas terbaharu dilaporkan berhubung projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) oleh kerajaan negeri, kata Timbalan Pesuruhjaya III PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah.
Ini, katanya walaupun setelah beberapa minggu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyatakan pendirian menolak projek tersebut.
Menurutnya, walaupun dia sudah nyatakan pendiriannya, namun ia tidak mengubah apa-apa perspektif kerajaan negeri terhadap pembangunan PSR.
Malah, Nurul Izzah juga kini tidak mewakili suara mana-mana parti dan kenyataan itu hanyalah pendirian peribadinya walaupun sebelum ini beliau dan rakan-rakan PKR secara bersama menyokong pembangunan tiga pulau buatan itu.
“Bagi kita PAS Pulau Pinang, kita konsisten dan tetap menolak pembangunan pulau buatan di selatan Pulau Pinang. Walaupun dia dah tegaskan nyatakan pendirian, setakat sekarang tadak apa lagi lah.
“Sungai Kereh juga tiada perkembangan walaupun beberapa kali PAS Pulau Pinang cuba bangkitkan. Kini, kita sedang usaha sebar luaskan apa yang kerajaan Pulau Pinang buat.
“Kita juga dibantu dengan bantuan NGO-NGO, ada buat video pendek tentang Sungai Kereh, dan juga Kampung Warisan,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily.

Sebelum ini, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri membatalkan projek PSR dengan serta-merta.
Beliau menyifatkan projek tersebut telah tersasar daripada tujuan asalnya, sebaliknya lebih banyak menumpukan kepada kepentingan sesetengah pihak serta mengabaikan kelestarian alam sekitar dan menjejaskan punca rezeki golongan nelayan.
“Walaupun saya bersama rakan-rakan parti pada awalnya menyokong pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih baik, keraguan mula timbul apabila PTMP diubah untuk merangkumi lebuh raya mega merentasi bukit dan sungai, transit aliran ringan (LRT), monorel, skycab dan pelan tambakan laut.
“Kini jelas bahawa PSR tidak lagi menjadi punca pembiayaan PTMP, tetapi tertumpu kepada penghasilan dan penjualan harta tanah spekulatif dengan meminggirkan kepentingan alam sekitar dan ekosistem seimbang. Projek ini boleh digambarkan sebagai penswastaan laut kita secara tidak langsung untuk pembangunan yang berpaksikan kepentingan swasta,” katanya dalam satu kenyataan.
Nurul Izzah juga mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tetap mahu meneruskan projek itu walaupun Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) mengesahkan bahawa PSR akan mengakibatkan kehilangan alam sekitar secara kekal.
Sementara itu, sumber rezeki nelayan terjejas selain kesan kepada alam sekitar serta ancaman terhadap keselamatan makanan rakyat daripada hasil laut menyebabkan Projek PSR wajar dibatalkan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang memberitahu gesaan pembatalan itu dinyatakan secara berterusan oleh para nelayan tempatan serta puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ternyata, cadangan projek PSR tidak pernah mendapat sokongan dan dukungan penuh rakyat. Petisyen awam ‘Save Penang! Reject the 3-Islands Reclamation’ untuk pembatalan projek ini mendapat lebih 116,000 pernyataan sokongan setakat hari ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 10/6/2021











