ADUN Damak usaha tangani masalah air penduduk

- Advertisement -

APABILA mendapat aduan penduduk berkaitan masalah air di Kampung Belukar dan Kampung Chengkuak Damak, saya, AJK Sekretariat ADUN Damak dan JKKK Damak terus turun ke lokasi bagi melihat dan mendengar secara terus aduan penduduk.

Dimaklumkan kepada kami bahawa air terputus lama dan tekanan air terlalu rendah yang sangat menyukarkan penduduk. Kami telah menghubungi pihak PAIP Jerantut dan dimaklumkan keadaan ini berpunca daripada kerosakan paip yang pecah.

- Advertisement -

Juga dimaklumkan pihak kerajaan telah meluluskan projek naik taraf loji air Batu Balai bagi menyelesaikan masalah ini. Untuk penyelesaian jangka pendek pihak kami telah memohon daripada kerajaan bagi membina telaga tiub yang boleh menyalurkan air dari telaga sedia ada ke rumah penduduk yang benar-benar terjejas.

Pihak kami juga akan membina dinding dan atap di telaga yang menjadi sumber air kepada penduduk bagi memudahkan urusan mereka menggunakan telaga tersebut. Namun kerja-kerja hanya dapat dimulakan selepas ‘Lockdown’ tamat.

Untuk makluman, pihak kami telah membawa isu berkaitan masalah air ini sebanyak dua kali ke Sidang DUN Pahang. Kami juga membuat permohonan khusus kepada PAIP bagi menyelesaikan masalah air yang telah berlanjutan beberapa tahun hingga membebankan penduduk.

Alhamdulillah seperti dimaklumkan projek naik taraf Loji Air Batu Balai dikhabarkan telah lulus. Namun disebabkan negara berdepan dengan pandemik COVID-19 kemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Kami mohon berbanyak kemaafan daripada warga kampung yang terkesan akibat masalah ini. Insya-Allah kami akan usahakan yang terbaik bagi menyelesaikannya mengikut bidang kuasa yang ada.

USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD  
ADUN Damak – HARAKAHDAILY 8/6/2021

- Advertisement -