Yakin, tindakan kerajaan demi kebaikan rakyat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Awang Hashim yakin langkah kerajaan mengkaji keperluan untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan anti-vaksin adalah demi kebaikan rakyat Malaysia.

Menurutnya, beliau menyokong langkah tersebut melihat kepada keperluan mencapai imunisasi berkelompok (herd immunity) selain mengatasi pelbagai kekeliruan maklumat yang diterima rakyat.

- Advertisement -

“Niat kerajaan adalah untuk kebaikan rakyat, kerana ini melibatkan nyawa. Jadi (wajar) kerajaan mengarahkan untuk mengambil beberapa tindakan supaya pihak kerajaan dapat menyelamatkan nyawa rakyat dengan pengambilan vaksin,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Tambahnya, beliau dalam masa sama berharap rakyat Malaysia dapat menerima dan menyokong Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) tanpa dipengaruhi sebarang maklumat separa masak.

Vaksin katanya terbukti menjadi jalan terbaik dalam mengekang penularan virus dan terbukti melalui sejarah vaksinasi Bacillus Calmette Gurrain (BCG) sebelum ini.

“Selain daripada kerajaan ambil tindakan untuk laksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan lockdown, kita minta rakyat Malaysia menerima vaksin tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang tidak ada kebolehan atau kemampuan dalam bidang ilmu perubatan.

“Sebab negara pernah melaksanakan vaksin BCG awal 70-an dahulu, dan kesannya sangat baik, semakin mengekang penyakit merebak pada ketika itu.

“Jadi, kaedah yang sama digunakan untuk Covid-19. Kita mengambil vaksin kerana imunisasi badan akan lebih tahan apabila berlaku serangan virus ataupun varian yang lebih kuat.

“Varian baharu virus Covid-19 yang kita tahu hari ini semakin agresif dan semakin kuat untuk menghadapi imuniti badan manusia.

“Saya menyarankan rakyat Malaysia mengambil vaksin, tidak perlu (tunggu kerajaan) ambil tindakan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung langkah kerajaan yang sedang mengkaji kesesuaian dan relevan mengenakan tindakan undang-undang ke atas anti-vaksin di Malaysia yang didapati menghasut orang ramai tidak menyokong PICK. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -