
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Tidak mahir menggunakan aplikasi MySejahtera serta masalah pengangkutan menjadi punca kebanyakan warga emas di negara ini gagal mengikuti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Rosni Adam berkata, kebolehcapaian golongan ini untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 amat terhad berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang mana mereka ini tiada sesiapa yang berdekatan untuk membantu memudahkan urusan berkenaan.
Justeru katanya, selain peranan influencer media sosial serta tokoh-tokoh masyarakat mengaktifkan pelbagai kempen vaksinasi, peranan golongan sukarelawan juga perlu digerakkan dalam usaha untuk memudahkan urusan pendaftaran serta pergerakan golongan tersebut bagi mendapatkan suntikan vaksin.
“Perlu ada sukarelawan yang turun dari rumah ke rumah warga emas ini dengan mematuhi SOP dan juga kebenaran supaya dapat memudahkan segala urusan serta perjalanan mereka.
“Sekarang ini Alhamdulillah ada usaha-usaha tersebut terutama sekali daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita, pimpinan, aktivis kita di semua peringkat menyediakan pengangkutan untuk mereka datang ke tempat vaksin.
“Ada juga yang buat outreach program macam di Kelantan dengan masuk ke kampung-kampung, buat vaksin di dewan-dewan bawah pusat DUN dan sebagainya.
“Saya rasa insya-Allah kalau kita sama-sama, terutama influencer media sosial ini promosi dan meyakinkan dalam kalangan sahabat-sahabat atau circle masing-masing supaya ambil vaksin.
“Anak-anak juga perlu sentiasa telefon mak ayah cuba bantu apa yang boleh sebaiknya, kalau perlukan bantuan dan sebagainya untuk membawa mak ayahnya ke tempat vaksin boleh contact kami,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.
Katanya, talian hotline yang disediakan di semua peringkat PAS termasuk Muslimat PAS dan Pemuda PAS boleh dihubungi sekiranya ingin mendapatkan bantuan bagi menghantar ibu bapa ke pusat vaksinasi berdekatan.
“Kita bersedia di peringkat PAS sendiri, PAS pusat Lajnah Kesihatan dan juga PAS di semua peringkat, memang bersedia untuk bantu mereka.
“Saya kira boleh contact hotline yang kita sediakan terutama sekali hotline Jom Vaksin di bawah DPPM dan hotline Tabung Bencana Covid19, boleh uar-uarkan kepada orang ramai bagi memohon bantuan untuk menghantar warga emas ini ke pusat vaksinasi tersebut,” ujarnya.
Bagi mendapatkan sebarang bantuan khidmat sokongan psikososial Covid-19 serta sebarang bantuan berkaitan kemudahan vaksinasi Covid-19 boleh menghubungi hotline Talian Sejahtera di talian 011-5338-2177. – HARAKAHDAILY 4/6/2021











