Saran pembangkang turut bantu rakyat hadapi Covid-19

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pembangkang turut disaran membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19 melalui sumbangan ke dalam tabung Akaun Bencana Amanah Negara, kata Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Awang Hashim.

Menurut Awang, beliau amat bersetuju dan menyokong tindakan barisan jemaah Menteri menyumbang tiga bulan gaji untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara sebagai membiayai perbelanjaan Covid-19.

- Advertisement -

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menganggap langkah itu bertujuan untuk membantu negara yang telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak demi kebajikan dan kebaikan rakyat.

“Setakat sekarang, Perdana Menteri, Menteri-menteri, Timbalan Menteri, dan beberapa negeri telah mengumumkan untuk menyumbang kepada Tabung Covid-19.

“Jadi pada ketika ini, semua pihak kerajaan telah menunjukkan satu pengorbanan bagi membantu rakyat menghadapi Covid-19.

“Jadi kita harap pihak pembangkang juga disaran melakukan inisiatif ini bagi menyumbang ke dalam Tabung Covid-19 supaya kita dapat membantu mereka yang mungkin menghadapi masalah ketika lockdown atau pandemik Covid-19 ini,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambahnya, walaupun sebahagian sektor dibenarkan operasi, namun pekerja di sektor-sektor demikian juga berkemungkinan sedang menghadapi kesusahan masing-masing.

Ini kerana, mereka yang dibenarkan bekerja ketika pandemik bukan semuanya golongan yang kaya dan golongan atasan, ada juga dalam kalangan B40 dan mempunyai gaji yang kecil.

“Gaji mereka kecil, produktiviti mereka tersekat, maka pendapatan mereka tersekat, dengan perbelanjaan harian mereka, kita dapati banyak perkara yang mereka tidak boleh buat.

“Malah, ada juga isi rumah yang tidak mempunyai simpanan atau tabung sebelum Covid-19 lagi, hanya cukup untuk menampung perbelanjaan mereka dalam masa sebulan.

“Saya sarankan pihak pembangkang juga, dalam mendepani Covid-19 ini supaya bersama menyumbang bagi membantu meringankan bebanan mereka yang kurang berkemampuan,” sarannya.

Sementara itu, di Pendang kata Awang, pihaknya memfokuskan bantuan kepada keluarga yang dijangkiti Covid-19 dan perlu dikuarantin.

Jelas Awang, pihaknya akan menghantar bantuan berupa makanan dan beberapa keperluan untuk membantu penduduk Pendang. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -