
KUALA LUMPUR: Lembaga Eksekutif (EB) Pertubuhan Kesihatan Dunia telah (WHO) mengesahkan bahawa Malaysia dan Jepun akan menggantikan China dan Australia sebagai ahli baharu lembaga itu bagi penggal 2021 hingga 2024.
Keahlian Malaysia dalam lembaga itu diketuai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, manakala Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebagai ganti.
Menurut Dr Noor Hisham, ia merupakan kali ke-empat Malaysia dipilih untuk berkhidmat bersama EB WHO yang setiap penggal dibarisi oleh 34 individu berkelayakan secara teknikal dalam bidang kesihatan
Ujarnya, fungsi utama EB ialah melaksanakan keputusan dan dasar Perhimpunan Kesihatan Sedunia, memberi nasihat serta mempermudahkan urusan WHO.
“Mesyuarat tahunan Lembaga telah diadakan Januari lalu, selepas ahli bersetuju dengan agenda Perhimpunan Kesihatan Sedunia yang seterusnya dan resolusi akan dipertimbangkan oleh Perhimpunan Kesihatan.
“Ia disusuli mesyuarat kedua yang lebih ringkas pada Mei atau Jun, sebagai susulan kepada Perhimpunan Kesihatan terdahulu.
“Kami akan melakukan yang terbaik bagi Wilayah Pasifik Barat untuk menyokong visi serantau, seperti ‘Demi Masa Hadapan: Ke Arah Wilayah Yang Paling Sihat dan Aman’ seperti dibayangkan Pengarah Serantau, Dr Takeshi Kasai.
“Selain agenda kesihatan global, Malaysia juga menyokong pembedahan yang selamat dan mampu dibiayai seperti digariskan dalam Kerangka Tindakan untuk Pembedahan Selamat dan Mampu Dibiayai di Wilayah Pasifik Barat (2021–2030) yang disahkan pada 2020,” katanya melalui hantaran dalam Facebook beliau, malam tadi. – HARAKAHDAILY 3/6/2021











