
KUALA KRAI: Kekeruhan air di Lata Y dekat Mengkebang kemungkinan berlaku disebabkan hujan lebat di kawasan berkenaan.
Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, kedudukan Lata Y terletak di kawasan tanah kerajaan sejak 2013.
Katanya di kawasan diberi kelulusan untuk dijadikan kawasan ladang hutan getah (TLC) yang mendapat kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA).
“Dalam semakan kita, pelesen atau syarikat telah memenuhi semua syarat-syarat EIA. Pelesen turut mengikut piawaian buffer zon iaitu ada 50 meter penjarakan dari tepi sungai.
“Malah iniasitif pelesen itu sendiri menambah satu rantai (10 meter) lagi dari buffer zone,” katanya kepada pemberita di sini.
Sebelum ini tular video mengenai pencemaran air yang berlaku di Lata Y berhampiran hutan simpan Sungai Rek.
Pejabat Menteri Besar ketika dihubungi memberitahu pihaknya mengarah Jabatan Perhutanan melakukan siasatan lanjut berhubung pencemaran sungai yang berlaku.
Abdul Khalim berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mengkaji semula untuk mewartakan kawasan itu sebagai kawasan tadahan air.
“Kami bercadang mewartakan kawasan sensitif di kawasan hutan simpan Sungai Rek iaitu lokasi yang mudah tercemar disebabkan aktiviti perhutanan dijadikan sebagai kawasan tadahan air.
“Malah, ia sebagai langkah untuk mengelak berlakunya pencemaran air di sungai berkenaan. Perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau sebagai langkah awal pihaknya mengarahkan syarikat terbabit membuat penanaman pokok kekacang sebagai salah satu langkah memulihkan keadaan di lata tersebut.
Sementara itu penduduk Kampung Mengkebang yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 50 berharap kerajaan sentiasa peka terhadap apa yang berlaku memandangkan kawasan air terjun berkenaan merupakan sebagai sumber utama air kegunaan kira-kira 1,000 penduduk.
“Kami tidak pasti dari mana bermulanya kekeruhan tersebut tetapi penduduk di sini tidak menolak kemungkinan ada kegiatan perhutanan berlaku di sekitar kawasan air terjun.
“Kalau dahulu keadaan air di Lata Y bersih sehingga dapat lihat ikan berenang-renang tetapi kini air semakin keruh dan keindahannya semakin tercemar,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batu Mengkebang. – HARAKAHDAILY 3/6/2021











