Pemulihan ekonomi bergantung kepada jumlah penerima vaksin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengurusan kesihatan awam yang baik dan konsisten adalah asas kepada pemulihan ekonomi sesebuah negara.

- Advertisement -

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, perkembangan ekonomi negara amat bergantung kepada jumlah rakyat yang menerima suntikan vaksin.

“Sekiranya semua rakyat Malaysia menerima suntikan selewat-lewatnya Disember 2021, maka ekonomi negara akan terus pulih dan tahun 2022 merupakan tahun pemulihan penuh ekonomi Malaysia,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily pada Selasa.

Menurutnya, krisis kesihatan negara perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memberi jalan dan peluang kepada sektor ekonomi untuk terus berkembang.

“Mengapa saya kata krisis kesihatan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu dan kunci kepada pemulihan ekonomi negara? Iaitu dengan mengambil kira negara di dunia yang telah berkembang pada ketika ini.

“Yang mana negara yang berkembang ini telah melaksanakan vaksin secara besar-besaran dan juga impak kepada ekonomi jauh lebih baik ketika Covid-19 dan tanpa vaksin.

“Mengambil contoh negara Amerika Syarikat, peratusan ekonomi mereka sebelum ini merosot 3.5 peratus dan setelah menerima vaksin meningkat sebanyak 6.4 peratus pada suku pertama tahun ini

“Pada tahun lepas ketika Covid-19 melanda negara, ekonomi China pada ketika itu amat goyah tetapi selepas setahun lebih berlalu dengan vaksinasi yang tinggi dan besar-besaran itu, ekonomi China berkembang pada tahap 7.9 peratus, begitu juga dengan negara Jepun yang naik sebanyak 2.5 peratus,” jelas beliau.

Katanya lagi, jumlah vaksinasi yang tinggi juga menyumbang kepada situasi di mana negara tidak memerlukan lagi sebarang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pelbagai dan pengoperasian sektor ekonomi yang tidak konsisten.

Pada Isnin, Perdana Menteri memaklumkan untuk mempercepatkan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan purata pemberian 80,000 dos sehari.

Menurutnya, menjelang akhir Jun ini negara mencapai sasaran 150,000 dos sehari melalui penambahan terimaan vaksin dari syarikat pengeluar, penambahan pusat-pusat pemberian vaksin, memperkenalkan kaedah pemberian secara pandu lalu dan penambahan anggota sukarelawan.

“Berdasarkan unjuran, pelaksanaan PICK secara keseluruhan disasarkan untuk selesai menjelang Disember 2021 dengan negeri berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang menjelang Oktober,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pada Isnin. – HARAKAHDAILY 2/6/2021 H7

- Advertisement -