
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membelanjakan RM9.7 juta membantu enam golongan sasar menghadapi penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown selama 14 hari bermula semalam.
Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ia merupakan fasa kelima di bawah Program Prihatin MAIK Covid-19 yang mula dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa awal tahun lalu.
Menurutnya daripada peruntukan itu RM3.7 juta untuk bantuan khas asnaf fakir miskin, RM2.4 merupakan elaun pegawai masjid termasuk sumbangan asnaf melalui pengurusan masjid dan RM436,180 kepada Orang Asli termasuk guru agama.
“Di bawah peruntukan itu juga termasuk sumbangan barangan dan makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin setiap jajahan berjumlah RM100,000 dan sumbangan peralatan kesihatan bagi rawatan Covid-19 sebanyak RM47,800.
“MAIK juga memperuntukkan bagi pembaikian, menaik taraf masjid negeri, bandar, mukim dan surau seluruh negeri Kelantan dengan dana sebanyak RM3.1 juta,” katanya pada kenyataan di sini.
Bantuan khas kepada asnaf fakir miskin bakal dimanfaatkan 7,522 penerima iaitu 7,322 merupakan penerima bantuan tetap bulanan berjumlah RM3.6 juta.
Beliau turut memperincikan bayaran elaun kepada Pegawai Masjid Mukim dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta, elaun Siak Masjid Mukim sebanyak RM410,800, Khatib Undangan Masjid Mukim berjumlah RM7,800 dan Bilal Undangan Masjid Mukim RM1,250.
Menurut Tengku Mohamad Rizam lagi, bantuan tersebut turut disalurkan kepada Imam Rawatib Masjid Bandar dan Jajahan (RM18,700), Elaun Sukarelawan Masjid Bandar dan Jajahan (RM12,822) serta RM604,000 bantuan sumbangan asnaf melalui masjid.
Sebanyak RM436,180 diagihkan kepada guru agama dan Orang Asli yang merangkumi RM227,500 dalam bentuk sumbangan makanan kepada 4,550 keluarga Orang Asli dan RM145,000 elaun guru agama bagi bulan ini.
Selain itu sebanyak RM63,680 diperuntukan bagi sumbangan bayaran elaun penuh kepada peserta kelas fardu ain minggu saudara baru di setiap jajahan di Kelantan.
“Sebanyak RM47,800 diperuntukkan bagi membantu rawatan pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), MAIK juga menyerahkan dua Unit High-flow Nasal Cannula Oxygen (HFNC) melalui dana wakafnya kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
“Dalam situasi getir dan sukar sekarang kita berharap program vaksinasi akan mendapat sokongan dan lebih ramai rakyat tampil mendaftar seterusnya menerima suntikan ini sebagai satu usaha hindari wabak yang sedang melanda sekarang.
“Di sebalik sumbangan yang disalurkan tersebut terdapat hero yang tidak didendangkan iaitu pembayar zakat, pewakaf dan mereka yang menginfakkan harta melalui MAIK, penghargaan harus diberikan kepada semua ‘Hero Asnaf’ terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/6/2021











