
KOTA BHARU: Kesedaran orang ramai bagi menjalani ujian saringan Covid-19 dan mendaftar program vaksinasi masih lagi rendah, biarpun gerak kerja kempen dilakukan pelbagai agensi kerajaan di merata tempat.
Sikap dingin orang ramai itu turut mendapat perhatian Sultan Muhammad V apabila baginda turut meminta rakyat Kelantan tampil mendaftar bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.
Malah sebelum ini banyak Pusat Khidmat Wakil Rakyat berkolaborasi dengan Pejabat Penerangan Daerah mengadakan kempen mengajak orang ramai mendaftar bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.
Ahli Parlimen Tumpat Dato’ Che Abdullah Mat Nawi turut turun padang dengan menjejaki dari rumah ke rumah untuk mendaftar nelayan di jajahan itu bagi menyertai program vaksinasi.
Manakala Pusat Khidmat Parlimen Kota Bharu pula menawarkan insentif sebanyak RM20 kepada golongan B40 yang sudah melengkapkan suntikan dua dos vaksin Covid-19.
Sambutan dingin juga dapat dilihat apabila Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu membuka kaunter percuma bagi membolehkan orang ramai di Mukim Telipot menjalani ujian saringan Covid-19.
Kaunter saringan itu dibuka sejak semalam di pekarangan Masjid Sultan Muhammad II Telipot, bagaimanapun tidak mendapat sambutan menggalakkan.
Seorang petugas memberitahu mereka menyasarkan lebih ramai penduduk di Mukim Telipot hadir membuat ujian saringan secara percuma.
Bagaimanapun katanya hanya kira-kira 400 penduduk hadir pada hari pertama kaunter itu dibuat bermula pagi semalam.
“Sedangkan jumlah penduduk di Mukim Telipot dianggarkan seramai 3,000 orang. Berdasar jumlah itu masih ramai lagi penduduk yang tidak mempunyai kesedaran untuk menjalani ujian saringan,” katanya di sini hari ini.
Ketika tinjaun Harakahdaily pagi tadi mendapati sambutan penduduk tempatan masih lagi dingin, di mana kelibat petugas lebih ramai berbanding penduduk yang hadir.
Sedangkan sehari sebelum program itu diadakan Pejabat Kesihatan membuat hebahan di beberapa kampung berdekatan termasuk Kampung Paya Senang, Kampung Belukar dan Taman Desa Telipot.
Sementara itu seorang penduduk Kampung Belukar Mat Lela, 40-an berkata, beliau merebut peluang hadir membuat ujian saringan memandangkan wabak Covid-19 sekarang sudah berada dalam komuniti.
“Kita tidak tahu wabak tersebut terkena pada diri kita kerana tidak ada gejala dan tidak juga dikategorikan sebagai kontak rapat.
“Namun atas rasa tanggungjawab saya juga hadir bagi memastikan sama ada kita benar-benar bebas daripada jangkitan atau sebaliknya,” katanya.
Difahamkan kaunter saringan percuma itu akan berakhir hari ini. Mereka yang datang membuat saringan tidak dipakai sebarang gelang kerana bukan kategori bergejala atau kontak rapat.
Keputusan saringan itu dijangka dapat diketahui esok atau lusa. Difahamkan mereka yang positif Covid-19 sahaja akan dimaklumkan melalui panggilan telefon. – HARAKAHDAILY 2/6/2021











