‘Kita dapat lihat ekonomi semakin pulih’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan mengumumkan bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) berjumlah RM40 bilion ekoran penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi.

- Advertisement -

Pelaksanaan fasa pertama seluruh negara itu akan bermula selama 14 hari, bermula hari ini turut melibatkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM5 bilion daripada kerajaan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ia merupakan inisiatif terbaru yang menfokuskan tiga matlamat utama iaitu Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam, Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat serta Menyokong Kelangsungan Perniagaan.

“Penutupan sektor-sektor ekonomi akan memberi kesan yang amat besar kepada ekonomi negara dan rakyat. Saya ingin berterus-terang bahawa kerajaan mempunyai ruang fiskal yang amat terhad untuk berbelanja pada masa ini.

“Namun atas dasar keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, kita akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan wujud keseimbangan antara keperluan untuk melindungi nyawa, dan menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0 sempena pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi yang disiarkan secara langsung dalam media massa dan media sosial, malam tadi.

Muhyiddin berkata, menerusi suntikan fiskal dan langkah yang telah diumumkan kerajaan, memperlihatkan pertumbuhan ekonomi semakin pulih selepas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP1.0) awal tahun lalu.

PKP 1.0 yang dibuat sebelum ini katanya, menyebabkan sektor ekonomi dan dihentikan secara keseluruhan telah memberi impak yang amat besar kepada pertumbuhan ekonomi negara serta kehidupan rakyat.

“Semenjak Covid-19 melanda negara, kita telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah 340 bilion ringgit yang memanfaatkan ramai rakyat dengan suntikan ekonomi melebihi RM200 bilion.

“Terdapat lebih dari RM100 bilion lagi daripada nilai pakej rangsangan untuk disalurkan sepanjang tahun ini. Sebagai tambahan, pakej tersebut dilengkapi oleh inisiatif Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion,” katanya.

Kini dengan sokongan kerajaan termasuk suntikan fiskal serta langkah yang telah diumumkan kata Ahli Parlimen Pagoh itu, rakyat dapat menyaksikan pertumbuhan ekonomi negara semakin meningkat dari masa ke semasa.

“Kita dapat lihat ekonomi semakin pulih yang menggambarkan hasil dan impak positif untuk terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan menyediakan bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

“Begitu juga pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada bulan Mac tahun ini telah melonjak sebanyak enam peratus iaitu nilai tertinggi semenjak pandemik Covid-19 melanda negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -