Kerajaan setuju semua kilang minuman keras ditutup serta merta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju supaya semua kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta, kata Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebagai makluman, ujar beliau kesemua sektor perkilangan ditutup kecuali 12 kategori sahaja yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Menurutnya, walaupun kebenaran beroperasi diberikan kepada kilang-kilang yang berasaskan makanan dan minuman, namun ianya hanyalah untuk keperluan asas sahaja.

Oleh yang demikian, tambahnya kilang minuman keras tidak termasuk di dalam kategori keperluan asas.

- Advertisement -

“Sehubungan dengan itu, kerajaan hari ini bersetuju supaya semua kilang-kilang minuman keras di seluruh negara ditutup serta-merta,” ujarnya dalam satu kenyataan mengenai PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Sebelum ini, PAS antara pihak yang paling awal membantah kebenaran pengoperasian kilang arak.

Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) digesa menjelaskan mengenai status surat kebenaran operasi kilang arak yang kini tersebar di media sosial.

Surat yang tular itu memaparkan dua salinan surat pengesahan pendaftaran syarikat arak, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad dan Heneiken Malaysia Berhad yang mengesahkan terdaftar di dalam sistem MITI – Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) dengan kedua surat yang bertarikh 30 Mei 2021.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, jika surat yang beredar itu sahih maka dua syarikat arak terkemuka dunia itu menjadi antara syarikat terawal yang mendapat kebenaran beroperasi oleh MITI.

Katanya, arak tidak mendatangkan sebarang kebaikan bahkan lebih memudaratkan kepada setiap golongan.

“Arak menjadi punca kepada keruntuhan moral, keganasan rumah tangga dan pelbagai tragedi kemalangan maut telah direkodkan akibat bahana arak,” katanya.

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) pula membangkang dengan keras pengoperasian mana-mana kilang arak sepanjang negara sedang bergelut dengan wabak pandemik Covid-19 terutama isu berhubung kebenaran oleh MITI kepada syarikat Carlsberg Brewery Malaysia Berhad pada 1 Jun 2021 walaupun dengan SOP yang ketat.

Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menegaskan arak tidak boleh dikategorikan sebagai produk atau perkhidmatan perlu yang diberikan kebenaran operasi sepanjang negara melaksanakan kuncitara penuh (total lockdown) bermula hari ini.

“Malah dengan kewarasan akal, tidak wajar kilang arak dibenarkan beroperasi kerana tiada manfaat langusng malah hanya mengundang musibah tatkala negara dan rakyat bergelut untuk sama-sama melandaikan graf angka positif Covid-19,” ujarnya.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) turut menuntut penjelasan segera daripada Menteri yang menjaga MITI dan mendesak supaya kedua kelulusan daripada MITI tersebut dibatal dan ditarik dengan segera.

“Sesungguhnya kilang arak bukanlah ‘esential services’ seperti kilang air mineral water yang memerlukan kebenaran beroperasi selama PKP 3.0. “Arak juga bukan keperluan utama rakyat dalam suasana pandemik Covid-19 sekarang,” kata Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa. – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -