Terima kasihlah tipu buat poster palsu – MB

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ekoran muncul poster palsu berkenaan bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 oleh kerajaan negeri yang ditular di media sosial dan WhatsApp baru-baru ini ada penduduk yang keliru.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya ada menerima panggilan telefon bertanya berkenaan sumbangan tersebut.

“Namun saya menjawab dengan baik dengan memberitahu bantuan tersebut belum ditentukan lagi oleh kerajaan.

- Advertisement -

“Kerajaan belum mesyuarat lagi, namun pihak terbabit sudah buat poster palsu. Terima kasihlah di atas penipuan yang dibuat mereka,” kata beliau pada sidang media secara di atas talian hari ini.

Baru-baru ini disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab mengenai maklumat palsu kononnya kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan total lockdown.

Poster terbabit turut menyenaraikan nama dan nombor telefon Menteri Besar, anggota-anggota Exco dan Adun Perikatan Nasional (PN) Kedah.

Menteri Besar berkata, pembuat poster palsu itu bukan sahaja menipu sebaliknya memperdayakan orang ramai.

“Tipu orang ramai. Bukan tipu saya. Tipu orang ramai ingat tak berdosa kut. Dosanya nanti tuailah di akhirat esok,” ujar beliau.

Semalam, Pejabat Menteri Besar menjelaskan poster yang ditular itu adalah palsu dan meminta orang ramai agar tidak terpedaya.

“Jangan terpedaya dengan permainan kotor pihak tidak bertanggungjawab yang dilihat sengaja mengambil kesempatan dalam suasana pandemik Covid-19 ini,” kata Sanusi. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -