
KUALA LUMPUR: PAS mengambil inisiatif menubuh Tabung Bencana Covid-19 PAS Pusat bagi membantu pihak yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di negara ini termasuk petugas barisan hadapan.
Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, usaha itu selaras dengan PAS sebuah parti berkebajikan.
Katanya, PAS Pusat dengan penuh rasa kesedaran dan insaf terhadap kesan penularan Covid-19 bukan sahaja melibatkan aspek kesihatan, sebaliknya kesan terhadap ekonomi dan sosial.
Katanya sebuah sekretariat khas ditubuh bagi mengendali dan mengurusetiakan tabung itu di bawah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Lajnah Kesihatan PAS Pusat dan Khidmat Malaysia.
“Bagi menjayakan usaha murni dan Jihadun Nafsi tersebut, Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan akan bertindak mengurus kutipan dana tabung berkenaan.
“Ia meliputi semua kawasan, cawangan, dewan, ahli-ahli PAS dan orang awam,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.
Kutipan Dana Tabung ini bolehlah disalur melalui akaun Parti Islam Semalaysia (Khidmat Malaysia) – Maybank: 5642 9431 0529 dengan mencatat Tabung Covid PAS Pusat).
Manakala pengesahan maklumat sumbangan boleh dihantar melalui WhatsApp di talian hotline Khidmat Malaysia 011-1540 6625.
Takiyuddin juga berkata, pelancaran Tabung Bencana Covid-19 PAS Pusat akan disempurnakan Timbalan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara maya jam 9.15 malam esok (1 Jun).
“PAS menyeru semua pihak, sama ada individu, perbadanan awam dan syarikat-syarikat swasta tampil memberikan sumbangan yang akan digunakan untuk membantu pihak-pihak yang memerlukan bantuan di seluruh negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/5/2021











