Sultan mahu rakyat serius peningkatan kes Covid-19

Sultan Muhammad V
- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan termasuk yang tinggal di negeri-negeri lain disaran mengambil perhatian serius terhadap peningkatan jangkitan Covid-19 sekarang.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berharap mereka memainkan peranan masing-masing dalam usaha melindungi diri sendiri dan keluarga.

Baginda turut bertitah pemimpin perlu sedia membantu rakyat untuk mendaftar dan menghadiri menerima suntikan vaksin pada hari yang ditentukan.

- Advertisement -

Setiausaha Sulit Kanan Sultan Kelantan, Dato’ Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, baginda mahu rakyat yang tidak mempunyai urusan penting tidak pulang ke Kelantan dalam suasana pandemik sekarang.

Katanya, ia bertujuan bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain terutama ibu bapa mereka yang berisiko tinggi.

“Baginda turut memuji rakyat Kelantan yang telah mendaftar untuk divaksin sebaliknya dukacita peratusan pendaftaran vaksin di Kelantan antara yang paling rendah hanya 33 peratus sehingga 29 Mei lepas.

“Baginda juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan hadapan terutama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang tidak mengenal penat lelah berkhidmat untuk masyarakat,” katanya pada kenyataan media di sini semalam.

Oleh itu kata Nik Mohd Shafriman baginda mendoakan supaya semua barisan hadapan diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk meneruskan perjuangan yang mulia tersebut.

“Sama-samalah kita memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi SOP, tidak cuba melarikan diri atau enggan kuarantin, dan tidak merentas negeri supaya peningkatan kes dapat dibendung secepat mungkin,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -