PKPD: Kerajaan negeri bantu penduduk terjejas

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman
- Advertisement -

BESUT: Penduduk yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan menerima sumbangan keperluan harian disumbang kerajaan negeri.

Selain itu turut dibantu peniaga kecil, tukang rumah, penjaja kecil, peniaga pasar malam dan pasar tani yang terjejas pendapatan disebabkan PKPD.

Penerima bantuan itu dikenal pasti melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa, Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, mereka ditapis melalui JPKK bagi memastikan penerima benar-benar layak.

Katanya, bekalan bantuan PKPD bagi Dun Kota Putera sudah sampai dan akan diagih kepada penduduk terlibat dalam masa terdekat.

“Bukan kami sengaja melengah-lengahkan bantuan terbabit, namun kerana tempahan dalam kuantiti yang banyak menyebabkan pemborong memerlukan sedikit masa untuk menyediakan stok.

“Esok dan lusa akan sampai pula barangan lain untuk menyempurnakan setiap bungkusan bantuan tersebut,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Oleh itu beliau berharap semua penduduk yang terkesan di Dun Kota Putera bersabar kerana agihan akan dibuat selepas semua barangan sampai.

“Sama-sama kita doakan kelancaran perjalanan bekalan dan agihan bantuan tersebut. Dan sama-sama juga kita memberi kerjasama dalam memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Sebelum ini kerajaan melaksanakan PKPD di 15 mukim di Besut selama 14 hari bermula 22 Mei lalu hingga 4 Jun ini.

Mukim terbabit iaitu Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membantu penduduk terjejas di kawasan PKPD di Besut yang dilakukan secara bersasar.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Adun Kota Putera berkata, bantuan tersebut termasuk produk usahawan Terengganu yang diperolehi menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan.

Katanya ia secara tidak langsung bagi membantu dan mempromosikan produk keluaran usahawan tempatan.

“Penyerahan pek makanan tersebut mulai dilaksanakan hari ini kepada semua 37 JPKK di Dun Kota Putera,” ujarnya.

Sementara itu penduduk di Dun berkenaan yang menghadapi masalah terputus bekalan keperluan harian boleh menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kota putera di talian 09 696 2149. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -