PEMERKASA Plus: Golongan terjejas diberi pilihan moratorium automatik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Golongan B40, individu kehilangan pekerjaan dan perusahaan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diberi pilihan untuk mendapatkan moratorium automatik selama tiga bulan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan tersebut turut boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan.

- Advertisement -

“Saya juga mendengar permintaan rakyat supaya kerajaan menimbang semula pemberian moratorium.

“Sehubungan itu, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, malam ini.

Muhyiddin memaklumkan, inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada Jun yang dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.

“Insya-Allah, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok. Saya berharap pengumuman moratorium automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan.

“Para peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapat manfaat bantuan ini,” jelas Muhyiddin lagi.

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown‘ di seluruh negara selama 14 hari bermula esok, 1 Jun.

Susulan itu, pelbagai pihak menggesa kerajaan mengumumkan pakej bantuan khas termasuk moratorium pinjaman bank kepada rakyat yang terkesan.

Pengusaha bas, teksi layak terima moratorium sehingga 12 bulan

Sementara itu, kerajaan melalui Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi di bawah PEMERKASA Plus turut mengumumkan bahawa pengusaha bas dan teksi yang layak, boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

“Saya menyarankan supaya agensi dan syarikat kerajaan menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan.

“Pihak MARA akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai 2021.

“Peminjam boleh memohon secara dalam talian untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran moratorium,” katanya.

Muhyiddin memaklumkan, pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk bulan Mei sehingga Julai 2021 kepada usahawan MARA yang terkesan akibat penutupan ekonomi.

PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA Plus merupakan inisiatif terbaharu kerajaan untuk membantu meredakan cabaran yang dihadapi, terutamanya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Menurut Muyhiddin, nilai keseluruhan program PEMERKASA Plus adalah berjumlah RM40 bilion, di mana suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -