
KOTA BHARU: Sebanyak 17 kluster baharu Covid-19 direkodkan setakat ini akibat aktiviti ziarah raya ketika musim perayaan. Selain itu keraian, solat berjemaah di surau dan pelbagai pergerakan lain.
Aktiviti tersebut dikenal pasti antara punca jangkitan pandemik Covid-19 di Kelantan meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, penularan itu belaku disebabkan kegagalan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Selain itu katanya sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu turut menjadi peyumbang berlaku pertambahan kes jangkitan sehingga hari ini.
“Malah terbaru Jabatan Kesihatan turut mengesan masih ada segelintir penduduk melakukan solat jemaah di surau.
“Aktiviti itu dikesan berlaku di Kampung Chetok, Pasir Mas sehingga menyebabkan seramai 37 orang positif Covid-19,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Dr Izani turut menjangka kes positif Covid-19 di Kelantan boleh mencecah 1,000 kes sehari mulai Jun berikutan nisbah jangkitan wabak itu berbanding jumlah penduduk sangat tinggi sekarang.
“Jika rakyat terus ingkar kepada SOP, saya tidak menolak kemungkinan kes di Kelantan terus meningkat melebihi 1,000 kes sehari pada Jun ini memandangkan kes sudah berada dalam komuniti secara besar-besaran.
“Sebelum ini kita sudah ingatkan kalau tidak patuhi SOP, selepas raya kes dijangka naik, jangkaan itu tepat. Lihat pada trend sekarang, Jun ini kes boleh mencecah hingga 1,000 sehari,” katanya.
Dalam pada itu menurutnya kadar kematian melibatkan kes Covid-19 di Kelantan turut menunjukkan tren peningkatan secara mendadak.
Kata beliau pada April lalu hanya 37 kematian sahaja direkodkan, namun meningkat kepada 117 kes sepanjang bulan Mei.
“Sehingga hari ini sebanyak 17 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka dan dijangka akan ditambah sebanyak tiga PKRC dengan mengambil kira peningkatan kes semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/5/2021











