
KOTA KINABALU: PAS Negeri Sabah telah menggerakkan Operasi Bersih (Ops Bersih) pascabanjir di Beaufort di sini, kelmarin.
Ops Bersih tersebut diketuai oleh Dr Aliakbar Gulasan, Setiausaha PAS Sabah dengan kerjasama PAS kawasan Beaufort, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Sabah serta NGO Sabah Relief.
Operasi pembersihan dilakukan di Sekolah Agama Negeri (SAN) Limbawang yang terjejas akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.
Kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan bantuan ahli JAM Negeri Sabah yang bertungkus-lumus memastikan operasi dilaksanakan dengan tersusun hingga selesai.
Dr Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk terjejas di Kampung Tamalangalong.

Di samping itu, beliau juga menyampaikan sumbangan kepada masjid dan gereja yang terjejas.
Dr. Aliakbar ketika ditemui berkata, PAS Sabah juga telah turun menyampaikan bantuan di Tenom dan ini merupakan program kebajikan berterusan yang telah dirancang dan disusun dari semasa ke semasa.
Hadir bersama dalam Ops Bersih kali ini ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid dan Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin. – HARAKAHDAILY 30/5/2021











