
KUALA LUMPUR: Golongan antivaksin yang berkempen untuk menghasut orang ramai agar tidak mengambil suntikan vaksin mampu mengancam nyawa dan keselamatan rakyat.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan golongan berkenaan yang memberi tanggapan negatif terhadap vaksin kepada masyarakat mampu menjurus kepada kesan yang lebih buruk.
“Golongan yang tak nak ambil (vaksin) ini apa penyelesaian yang mereka ada? Apa alternatif yang ada? Kita kena ingat bahawa kalau kita menjadi pembawa wabak, secara tidak langsung kita menyebarkannya kepada orang lain.
“Sebab itu saya bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa orang yang menghalau orang lain, tiba-tiba menjadi mudarat kepada orang itu sehingga mengancam nyawa, dia kena bertanggungjawab.
“Sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA, Umar memanggil seorang wanita dan dalam ketakutan wanita itu datang, kemudian kebetulan jatuh gugur kandungannya. Umar membayar ganti rugi di atas musibah yang menimpa wanita tersebut.
“Ini ada golongan yang berkempen jangan ambil suntikan. Apa alternatif yang mereka ada? Kalau kita ada alternatif lain, OK, tapi tak ada,” ujarnya dalam Majlis Pelancaran Kempen Jom Vaksin yang disiarkan secara langsung di Facebook PAS Pusat, malam tadi.
Turut serta Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Ahmad Amzad Hashim, Ketua Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya serta seluruh pemimpin sayap utama PAS.
Menurut beliau lagi, suntikan vaksinasi merupakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim, selain daripada mematuhi peraturan seperti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Yang ketiga adalah doa, doa ini memang wajib tapi ikhtiar juga wajib, maka vaksin juga antara ikhtiar kita…sebab itu Nabi SAW menyebut, larilah kamu daripada wabak penyakit sebagaimana kamu lari daripada harimau, bermakna Nabi suruh kita lari, kita elak daripada suasana tersebut tapi dalam situasi ini apa yang kita boleh buat adalah ikhtiar,” katanya.
Sementara itu, beliau juga mengingatkan kepada semua pihak terutama jentera PAS agar dapat bebas daripada risiko bahaya pandemik Covid-19.
“Pastikan semua petugas dah ambil suntikan sebab kalau berlaku jangkitan pada waktu itu, nauzubillah bayangkan kita akan jem, mungkin satu peti undi kita akan hilang petugas, satu cawangan kita hilang petugas kita.
“Oleh kerana itu, jentera pilihan raya kita mengambil suntikan sebagai persiapan supaya apabila kita ditakdirkan pilihan raya di mana-mana atau bila-bila masa sekalipun, kita dah dapat suntikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/5/2021











