Vaksin selamat: Dapatkan maklumat yang betul dari sumber yang sahih

Gambar hiasan
- Advertisement -

oleh Dr (Ms) Afizah Salleh dan Dr Aspalilah Alias

Pandemik COVID 19 masih tiada penghujungnya. Malah kes semakin bertambah setiap hari dan jumlah kematian juga meningkat. Walaupun seluruh negara telah melalui PKP khas selama dua minggu, kes tidak menunjukkan sedikit pun pengurangan.

Daripada sejarah jangkitan didapati kes berpunca dari ziarah hari raya, solat dan moreh di masjid semasa di bulan ramadhan, kunjungan beramai-ramai ke pusat judi di Genting Highland. Lebih membimbangkan lagi, didapati banyak juga kes yang telah menjadi ‘sporadic’ di mana tidak dapat diketahui daripada siapa ia bermula.

- Advertisement -

Kadar pemberian vaksin juga masih rendah dan kita masih jauh lagi untuk mencapai imuniti kelompok. Walaupun ada sebahagian yang sudah mendapat vaksin yang kebanyakkannya adalah petugas barisan hadapan dan warga emas, selagi imuniti kelompok tidak dicapai, mereka masih boleh dijangkiti dan menyebarkan kepada orang lain. Maka SOP masih perlu di jaga sebaiknya.

Walaupun sudah hampir 2 tahun kita berkenalan dengan virus COVID 19 ini, masih ramai yang keliru atau buat-buat tidak tahu. Tentang SOP dan kepentingan vaksin. Banyak suara-suara sumbang yang timbul mempersoalkan seribu satu isu berkaitan vaksin dan tidak kurang juga yang menolaknya.

Terlalu banyak maklumat di laman sesawang KKM dan MKN serta perkongsian daripada doktor-doktor bertauliah tentang bahayanya jangkitan COVID 19, bagaimana ianya menyebabkan kematian, kenapa perlu SOP ketat dan kenapa perlunya vaksin serta imuniti kelompok. Malah fatwa kebangsaan telah dibincangkan oleh mufti-mufti seluruh negara untuk menetapkan hukum pengambilan vaksin dan isu berkaitan solat berjemaah dan solat Jumaat.

Namun masih ada segelintir masyarakat yang lebih suka dan percaya kepada berita-berita tidak sahih, maklumat didapati dari orang yang tidak berautoriti dan luar dari bidangnya. Kemudian berita yang tidak sahih ini disebarkan melalui group whatsApp dan menjadi viral. Hasilnya yang tidak percaya pun mulai percaya. Sudah tidak perlukan golongan antivaksin untuk masyarakat menolak vaksin. Belum lagi ditambah dengan laporan dari wartawan dan pemberita tentang isu berkaitan vaksin secara tidak jujur yang mana tajuk sensasi yang dihidangkan menyebabkan rakyat salah faham dan semakin takut dengan vaksin. Ramai individu yang malas membaca isi kandungan dan hanya membaca tajuk sahaja.

Apabila fasa kedua (untuk warga emas dan mereka yang berpenyakit kronik) pemberian vaksin bermula, petugas barisan hadapan bertungkus lumus berkhidmat di pusat-pusat pemberian vaksin. Bukanlah setakat cucuk sahaja, tetapi sejarah penyakit dan alergi perlu ditanya, kebenaran perlu diambil dan pemantauan perlu dilakukan selepas vaksin diberikan. Amatlah mengecewakan apabila daripada senarai nama yang ada, ramai yang tidak hadir. Kenapa ini berlaku?

Ada yang takut kesan samping yang belum pasti, ada yang masih rasa vaksin tidak halal dan mengandungi unsur babi, janin bayi dan ginjal monyet. Lebih menyedihkan lagi warga emas ini dilarang mengambil vaksin oleh anak-anak mereka dengan alasan mereka sudah tua, ada banyak penyakit dan merbahaya. Di mana mereka mendapat maklumat salah ini? Sedangkan warga emaslah yang kita utamakan untuk fasa kedua ini kerana jangkitan COVID 19 sangat berisiko untuk golongan ini.

Kemudian apabila vaksin Astra Zeneca di bawa masuk, ramai pula yang mempersoalkan tentang risiko pembekuan darah yang hanya 0.0004%, jauh lebih rendah dibandingkan dengan risiko pembekuan darah seseorang yang merokok (0.18%), mengambil pil perancang keluarga (0.12 %) dan jangkitan COVID 19 (16.5%). Terpaksalah ditarik keluar dari senarai vaksin kebangsaan dan diberikan kepada sesiapa yang rela hati sahaja secara tempahan atas talian.

Ada juga yang hanya mahukan vaksin jenis Pfizer sahaja dan menolak vaksin jenis Sinovac dengan alasan ianya kurang berkesan. Sekali lagi masyarakat tidak mendapat maklumat yang tepat atau salah faham dengan bacaan sendiri. Perbezaan Pfizer (95 %) dan Sinovac (76%) adalah dari segi mengurangkan gejala jangkitan (Pfizer) dan mengurangkan risiko jangkitan (Sinovac) di mana kajian keberkesanan yang syarikat pengeluar vaksin lakukan adalah berbeza-beza mengikut sistem pemasaran masing-masing.

Kini varian baru virus COVID sudah muncul dan didapati lebih merbahaya. Angka kemasukan ke ICU dan kematian semakin bertambah. Bukan sahaja menyerang golongan tua dan berpenyakit malah mereka yang muda dan tidak berpenyakit juga semakin ramai yang mengalami gejala yang teruk.

Virus COVID 19 yang diketahui menyerang salur darah di paru-paru dan menyebabkan masalah pernafasan kerana keradangan,pengumpulan air dan mengganggu pertukaran oksigen antara salur darah dan sel paru-paru, namun kesannya tidak dapat dikesan terutama kepada orang muda yang mempunyai system adaptasi yang baik. Apabila keadaan menjadi sangat teruk, mereka akan mengalami kekurangan oksigen yang sangat teruk dan kadang -kadang tidak dapat diselamatkan lagi.

Apa sahaja jenis vaksin yang ada adalah vaksin yang terbaik untuk kita. Sebelum mendapat jangkitan virus ini, memori sel untuk pertahanan badan perlu dibangkitkan untuk persediaan melawan jangkitan. Inilah usaha kita sebagai tanda tawakal dan berjihad melawan virus yang merbahaya ini. Tugas kerajaan adalah mendapatkan vaksin untuk rakyat yang bukanlah semudah membeli baju atau perabot. Satu dunia perlukan vaksin untuk kebajikan rakyat masing-masing. Syarikat pengeluar pun perlukan masa untuk menghasilkan vaksin-vaksin tersebut. Tugas rakyat pula memastikan diri dan keluarga mendapat vaksin dan memastikan SOP sentiasa di jaga.

Allah juga berfirman dalam al Quran Surah Ar-Rad ayat 11 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.”dan dalam Surah Al- Insyirah ayat 5 & 6 Allah SWT berfirman yang bermaksud “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”.

Allah SWT menurunkan bala atau ujian kepada kita dengan bersebab. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali kaum itu yang mengubahnya. Kita hendaklah mengubah sikap kita terhadap penyakit COVID 19 ini. Kita perlu bekerjasama dan bersatu hati dalam memutuskan rantaian COVID 19 dengan mengambil vaksin serta menjaga SOP yang telah ditetapkan.

Buat masa ini, itu sahajalah ubat yang boleh membantu kita dalam menyelesaikan masalah wabak yang melanda dunia ini. Usaha dan ikhtiarlah serta bertawakal dan berdoa moga Allah SWT menghapuskan penyakit ini. Sudah pasti setiap ujian dan cabaran yang Allah SWT berikan kepada kita ada penghujungnya. Setiap kesukaran yang dihadapinya akan disertai dengan kemudahan dan kejayaan.

Marilah kita menyahut seruan kerajaan untuk mengambil vaksin bagi meningkatkan imuniti badan dalam melawan wabak COVID 19 ini. Kita jaga kita, Allah jaga kita!!! Kita pernah hampir menang, kita mesti menang!!!.

Ms Afizah Salleh adalah Pakar perunding Pembedahan Am di Hospital Pakar Annur dan Dr Aspalilah Alias, Pensyarah Anatomi di Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

- Advertisement -