Sokong larang kuliah perlekeh usaha kerajaan tangani wabak

Datuk Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan menyambut baik kenyataan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang melarang kuliah dan ceramah disampaikan bagi menentang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia menggambarkan keprihatinan baginda untuk mengelak penularan wabak tersebut daripada terus melarat.

- Advertisement -

“Inilah merupakan tanda tuanku sangat menyayangi serta cakna terhadap kehidupan dan kebajikan rakyat, jadi itulah juga hasrat kita untuk melaksanakan usaha supaya kita boleh halang rantaian penyebaran wabak.

“Jadi hasrat tuanku sangat kita hargai dan kita junjung, itulah yang perlu dipatuhi dan diikuti sepenuhnya oleh rakyat untuk bersama-sama dengan kerajaan,” katanya selepas sumbangan di Sekolah Kebangsaan Pauh Lima hari ini.

Beliau hadir bagi menyempurnakan majlis penyerahan barangan keperluan harian daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem) Kelantan kepada penduduk Kampung Pauh Lima di sini yang dikenakan PKPD.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebelum ini mengeluarkan kenyataan melarang sebarang penyebaran kuliah yang menyokong dakyah golongan menolak vaksin yang dilaksanakan di bawah Pick.

Larangan itu diumumkan Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz itu setelah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam bagi Kelantan.

Kenyataan itu menyebut segelintir pendakwah termasuk pemegang Tauliah Mengajar Maik dikesan melakukan ceramah dan kuliah bagi menggalakkan orang ramai untuk menolak program vaksinasi bagi menyekat penularan wabak. – HARAKAHDAILY 29/5/2021

- Advertisement -