
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyokong keputusan kerajaan berhubung pelaksanaan total lockdown fasa pertama atau penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.
Ketua Penerangannya, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, walaupun langkah ini akan memberi kesan kepada sektor ekonomi negara namun ia adalah langkah terbaik buat masa ini.
Ini memandangkan kes sudah meningkat kepada 9,000 orang sehari manakala kes aktif melebihi 70,000 orang.
“Selain daripada kes yang meningkat dengan mendadak, varian dari India yang juga merebak lebih cepat berbanding Covid-19 yang asal, sudah dikesan di Malaysia.
“Malaysia juga mempunyai nisbah kes yang tinggi berbanding bilangan rakyat iaitu kira-kira 200 orang positif setiap hari dalam setiap 1,000,000 rakyat Malaysia,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.
Katanya, pihaknya turut berharap agar rakyat patuh dan memberikan kerjasama dalam mengurangkan bilangan jangkitan di Malaysia.
Di samping itu, DMPM turut menggesa orang ramai memberikan kerjasama mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin yang disediakan kerajaan.
“Elakkan daripada tidak hadir ketika temujanji vaksin yang telah diperuntukkan kepada kita.
“Sesungguhnya dalam Islam, memelihara nyawa sendiri, keluarga dan masyarakat adalah sangat utama sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan an-Nasai, at-Tirmidzi dan al-Baihaqi: Sungguh lenyapnya dunia ini lebih ringan di sisi Allah daripada terbunuhnya seorang Muslim.
“Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar Dia segera mengangkat wabak ini daripada berterusan melanda negara dan dunia.
“Tidak lupa juga supaya kita sama-sama memperbaiki diri dan bertaubat kepada Allah SWT.
“Semoga dengan segala usaha kita ini, kita berjaya melalui fasa pertama ini dengan berjaya dan mengurangkan jangkitan dalam negara sehingga dapat kita menjalani hidup seperti biasa,” ujar beliau lagi.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, sepanjang tempoh berkenaan semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Perkara itu diputuskan dalam Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam. – HARAKAHDAILY 29/5/2021











