
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyokong penuh keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh demi kebaikan rakyat jelata.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, beliau berharap PKP pada kali ini dapat melandaikan lengkuk kes harian Covid-19, sepertimana kejayaan rakyat Malaysia pada PKP 1.0.
Menurut beliau, rakyat harus sedar bahawa keputusan yang dibuat Kerajaan adalah suatu keputusan yang sukar kerana ianya melibatkan kesihatan awam dan ekonomi negara.
“Justeru itu, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru rakyat agar duduk rumah dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar kita dapat menurunkan kes dalam tempoh yang singkat.
“Tiada siapa mahukan PKP yang lama kerana ianya bakal membawa malapetaka besar kepada sektor ekonomi negara dan kewangan rakyat,” katanya.
Sementara itu, DPIM turut menyeru semua pimpinan parti politik, di dalam Kerajaan mahupun pembangkang, agar tidak memanipulasi situasi hari ini untuk kepentingan politik semata-mata.
“Tiada keperluan gesaan oleh Pakatan Harapan dan Ketua Pembangkang untuk bersidang di Parlimen. Adalah bagusnya setiap Ahli Parlimen turun ke kawasan masing-masing untuk memberikan bantuan daripada berdebat secara membabi buta di Parlimen, sepertimana yang kita semua lihat pada setiap sidang Parlimen yang lepas.
“Rakyat perlu didahulukan dan kepentingan negara perlu diutamakan. Seluruh masa dan tenaga perlu difokuskan untuk menentang Covid-19.
“Ambil pengajaran daripada PRN Sabah yang mencetuskan gelombang Covid-19 di seluruh negara.
“Sekarang bukan masa untuk berdebat di Parlimen, tetapi masa untuk Ahli Parlimen bekerja untuk rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, kata Shahir, DPIM turut bersetuju sekiranya darurat dilanjutkan hingga akhir tahun sehingga kita betul-betul berjaya menurunkan kes harian Covid-19.
Semalam, PKP secara penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun total lockdown seluruh negara diumumkan bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.
Sehubungan itu, DPIM menggesa Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengumumkan bantuan khas kepada rakyat dan moratorium secara automatik dengan kadar segera.
“Ramai yang terpaksa duduk rumah dalam tempoh PKP, seterusnya hilang sumber pendapatan dalam tempoh terdekat ini.
“Bank-bank yang mencatatkan keuntungan bersih berbilion ringgit waktu PKP 1.0 sewajibnya dapat membantu rakyat Malaysia dalam keadaan yang susah dan terdesak sekarang.
“Moratorium automatik untuk tiga bulan mencukupi untuk rakyat bernafas,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini. – HARAKAHDAILY 29/5/2021











