‘Lockdown’, bukan semua kedai ditutup

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Orang ramai terutama penduduk di Kuala Terengganu dinasihatkan tidak panik kerana bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh lockdown dikuatkuasakan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, orang ramai perlu faham bahawa lockdown bukan bermaksud semua kedai ditutup.

Sebaliknya, kata beliau jaminan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekalan keperluan pengguna mencukupi dengan harga masih terkawal.

- Advertisement -

“Saya baru hubungi Pengarah KPDNHEP Terengganu, Encik Shaharuddin yang memaklumkan bekalan keperluan pengguna adalah mencukupi dan harga barangan terkawal.

“Satu yang perlu difahami, lockdown bukan bermaksud semua kedai tutup. Masih boleh ke kedai beli barangan dengan seorang wakil keluarga,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Menurut Amzad, beliau menerima laporan terlalu ramai orang berpusu-pusu ke pasaraya dan pasar di Kuala Terengganu bagi membeli bekalan keperluan seperti persiapan jangka panjang.

“Ini adalah bahaya kepada diri sendiri. Orang ramai bila terlalu ramai berada berdekatan antara satu sama lain dengan kemungkinan penularan virus Covid-19 boleh berlaku.

“Saringan MySejahtera, pengukuran suhu hanya di pintu masuk, yang berkumpul ramai sebelum pintu kita tidak pasti dan ada risikonya.

“Pembelian dengan jumlah yang besar bekalan, boleh mengganggu bekalan keperluan. Sekiranya masing-masing membeli dengan banyak,” jelasnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyarankan, masyarakat agar merancang pembelian mengikut keperluan di samping mengunjungi premis yang tidak sesak.

“Saya memohon rancang dengan baik keperluan. Pilih kedai yang tak perlu bersesak. Beli pada kuantiti yang tidak perlu untuk keperluan sebulan.

“Lima hari lagi boleh ke kedai lagi, akan ada tempoh masa kedai dibuka. Ini kita tunggu pengumuman SOP (prosedur operasi standard) nanti yang ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara).

“Sekali lagi, usah buat panic buying (pembelian panik). Tidak mahu lagi dengar ada yang terpaksa buang roti Gardenia, kerana tersilap beli banyak-banyak, kerana ingat semua kedai tutup dan tidak buka untuk jangka masa yang lama,” tegasnya.

Menurutnya, pihak media turut melaporkan orang ramai berpusu-pusu mengunjungi pasar raya dan premis perniagaan bagi membeli barangan keperluan harian. – HARAKAHDAILY 29/5/2021

- Advertisement -