
KOTA BHARU: Usaha membantu rakyat yang dijangka terkesan dengan pengumuman kerajaan mengenai penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial atau total lockdown fasa pertama yang bermula 1 hingga 14 Jun, bakal dipertingkatkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri merupakan pelengkap terhadap bantuan disalurkan kerajaan.
Malah bukan itu sahaja katanya, rakyat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seluruh negara, turut mendapat perhatian kerajaan melalui agensinya yang mengagihkan bantuan keperluan harian.
“Kita akan giatkan lagi usaha bantuan tersebut, kalau di bawah kita, kita ada Tabung Musa’adah, telah dibelanjakan tahun ini sahaja lebih RM10 juta, kita akan tingkatkan termasuk menambah dana untuk bantu rakyat terkesan.
“Kerajaan sentiasa turun bersama agensi bagi memastikan kebajikan rakyat terlibat diberikan perhatian khusus kerana terbatas pergerakan, kita pastikan tiada satu keluarga pun terlepas mendapat keperluan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat pengumpulan barangan keperluan harian bagi 1,200 penduduk kampung Pauh Lima yang dikenakan PKPD di Sekolah Kebangsaan Pauh Lima di sini hari ini.
Sumbangan itu meliputi barangan keperluan harian seperti beras, telur termasuk susu dan pampers yang diagihkan oleh petugas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dari rumah ke rumah bagi memastikan hasrat kerajaan tercapai.
Mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan rumah ibadat khususnya masjid dan surau beliau berkata, kerajaan sentiasa mengemaskini pelaksanaannya secara bulanan.
Menurutnya, walau pun sebelum ini menyaksikan perlanggaran SOP di masjid dan surau sehingga mewujudkan kluster baru, namun sekarang pematuhan rakyat terhadap peraturan berkaitan penularan wabak Covid-19 semakin baik.
“Malah kesedaran masyarakat dan kepimpinan komuniti juga semakin meningkat bukan sahaja kepatuhan terhadap SOP, tetapi juga membangkitkan kesedaran agar rakyat mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Banyak penularan wabak yang membabitkan masjid dan surau sebelum ini serta peristiwa yang berlaku sehingga wujud kluster baru, menyebabkan rakyat semakin memahami betapa penting akur arahan kerajaan.
“Memang terbukti perlanggaran SOP termasuk di masjid dan surau akan memberi kesan iaitu menyebabkan jangkitan Covid-19 semakin buruk, kerana peraturan dibuat mengambil kira pandangan semua pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2021











