
SEBAGAI menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar minggu lalu, semalam telah diadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Johor Datuk Haji Hasni Mohammad dengan penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Negeri Johor termasuk saya sendiri bagi membincangkan mengenai pengurusan pandemik COVID-19 di Johor.
Alhamdulillah, perbincangan berjalan lancar. Yang paling saya bangga, semua pihak tidak kira daripada Kerajaan mahupun pembangkang saling senada serta terbuka dalam menyuarakan cadangan dan kaedah bagaimana untuk menangani krisis COVID-19 khususnya di Johor dengan lebih baik.
Saya sendiri turut berkongsi beberapa cadangan dan maklum balas yang menyentuh empat perkara:
1. Pelaksanaan strategi ‘Circuit-Breaker’ bagi mengelak berlakunya jangkitan COVID-19 yang lebih meluas dalam kalangan komuniti.
2. Penyelarasan SOP dan naratif yang lebih jelas serta mudah difahami rakyat.
3. Pelaksanaan saringan COVID-19 secara besar-besaran.
4. Penambahan bekalan vaksin COVID-19.
Saya juga tekankan bahawa kesemua cadangan dan perancangan ini hanya boleh dilaksanakan dengan lebih baik di peringkat negeri sekiranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh membantu dan menjadi pemudah cara.
Insya-Allah, sekiranya semua pihak saling berganding bahu, pengurusan pandemik COVID-19 yang lebih baik di Johor bukan sahaja boleh kita usahakan, malah apa yang Johor laksanakan boleh dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain sekali gus membantu usaha menangani pandemik di peringkat nasional. Sama-sama kita doakan.
YB DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Menteri Luar Negeri
Ahli Parlimen Sembrong – HARAKAHDAILY 28/5/2021











