Covid-19: Adakah kanak-kanak mempunyai pilihan?

Photo by Aditya Romansa on Unsplash
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkongsian seorang Doktor Pediatrik, atau Doktor Kanak-Kanak, Dr Rashdan Mohamed begitu menyayat hati, melihat kepada seorang kanak-kanak yang mengalami kesukaran bernafas akibat daripada jangkitan Covid-19.

Menurutnya, mereka di wad pediatrik terpaksa menyaksikan kenaikan mendadak kes Covid-19 dalam kalangan kanan-kanak tahun ini terutamanya bermula April lalu.

Malah, semakin ramai kanak-kanak menghidap Covid-19 kategori empat dan kategori lima yang menurutnya amat jarang berlaku sebelum dua minggu kebelakangan ini.

- Advertisement -

“Saya boleh sahkan, sekurangnya, di bawah kelolaan saya, ada satu kes kongenital Covid-19, iaitu bayi baru lahir positif (Covid-19 melalui) PCR (polymerase chain reaction) pada calitan pertama ketika kelahiran. Alhamdulillah, pesakit stabil dan dibenarkan pulang

“Minggu lepas sahaja, ada dua pesakit kanak-kanak perlu rawatan intensif di Paediatric HDW (Wad penrgantungan tinggi kanak-kanak)

“Seorang bantuan pernafasan, (memerlukan) ventilator, dan seorang high flow nasal canula. Alhamdulillah, dengan rawatan rapi, pesakit stabil.

“Kemudian, beberapa pesakit kanak-kanak di wad bukan intensif untuk Covid-19, ada yang perlu oksigen juga

“Ada pesakit kanak-kanak dengan komplikasi intussusception (masalah usus) yang perlu intervensi segera. Gerak kerja dari pelbagai jabatan. Alhamdulillah, berjaya,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau sebagai doktor pediatrik merasa kesal memandangkan beliau berpendapat bahawa kanak-kanak tidak memilih untuk berjalan kemana-mana melaikan ibu bapa yang membawa.

“Ya, mereka kanak-kanak.

“Mereka tidak jalan mana-mana, kecuali dibawa,
Mereka tidak boleh rentas negeri, kecuali dibawa,
Mereka dicium oleh mereka yang positif, bukan dipinta,
Mereka tidak boleh halang tetamu dengan positif Covid-19 dari datang bertandang ke rumah, apakan daya,
Mereka juga bukan penyebab penularan dalam komuniti, jika tanya saya (walaupun mereka juga boleh jadi pembawa)
Mereka tidak boleh daftar, apatah lagi menerima vaksin juga.

“Kita dewasa,
Kita boleh memilih,
Mereka tidak,
Buat pilihan yg tepat!

“Tanya saya,
Saya pilih vaksin, Kerana Allah Taala,
Saya patuh SOP, juga Kerana Allah Taala,
Saya jaga diri,
Saya jaga keluarga,
Saya juga jaga kanak-kanak yang tidak boleh memilih ini (melalui herd immunity, imuniti kelompok),
Jangan kita jadi asbab mereka menderita,” ujarnya sambil berkongsikan video seorang kanak-kanak mengalami kesukaran bernafas dan foto x-ray jantungnya. – HARAKAHDAILY 28/5/2021

- Advertisement -