Anti-vaksin: Isu merentas kaum, bukan hanya Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu penolakan pengambilan vaksin adalah bersifat merentas kaum, bukan sahaja Melayu.

Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata isu itu bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di serata dunia ada yang menolak vaksin atas alasan tertentu.

- Advertisement -

“Jika kita lihat di Malaysia majoritinya Melayu sendiri mereka menolak vaksin berdasarkan beberapa isu.

“Antara yang sering diketengahkan adalah mereka takut bahan vaksin itu adalah daripada bahan yang tidak halal iaitu senang dikatakan, babi.

“Seperti yang kita telah terangkan tidak ada babi atau elemen babi dalam produk akhir mana-mana vaksin Covid-19,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas berhubung agenda vaksin, beliau berkata agenda itu bukan daripada Yahudi bahkan di sesetengah negara mereka mengatakan vaksin ini agenda Islam.

“Terbalik dengan Malaysia yang katakan ini agenda Yahudi. Jadi ia bergantung.

“Agenda ini juga sebenarnya merentas agama, bangsa dan fahaman politik tidak kisah anda daripada parti mana sekalipun, isu kesihatan yang kita sedang hadapi sekarang ini bukan sahaja isu politik bahkan isu di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Webinar Intelektual Negara 6 bertajuk Vaksin: Sejauh Manakah Ia Mampu Menjadi Penyelamat yang disiarkan secara langsung di media sosial Pertubuhan Intelektual Negara, pada Rabu.

Turut hadir selaku panel Timbalan Pengarah Pusat Kajian Pembangunan dan Inovasi (IRDI) International Medical University (IMU) Prof Dr Azizi Ayob; Ketua Unit dan Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Tengkawang Terengganu Dr Suhazeli Abdullah; Pakar Perubatan Keluarga Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, Johor, Dr Sakinah Sulong; serta pakar Sensor and Nanotechnology Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Hanif Yaacob, selaku moderator.

Menjawab berhubung ketakutan orang ramai untuk mengambil vaksin, Mohd Dzulkhairi berkata ianya adalah perkara biasa.

“Jadi sekiranya takut, itu (tindakan) betul. Anda ada ketakutan yang berasas, iaitu takut mati, takut mendapat jangkitan yang lebih teruk, ada orang kata mati lepas cucuk vaksin dan lepas ambil vaksin pun masih kena Covid-19.

“Kita kenal pasti, menghuraikan dan cuba untuk berikan penyelesaian kepada ketakutan mereka. Kemungkinan ketakutan mereka sebenarnya ialah disebabkan oleh persepsi yang diberikan oleh rakan-rakan dan bukan daripada kalangan doktor perubatan atau mereka yang bertauliah dalam perubatan.

“Jadi paling penting sekali ialah sokongan keluarga. Selain daripada anggota-anggota kesihatan membantu, penting untuk ahli keluarga memberikan sokongan kepada orang yang lebih tua,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peranan media juga amat penting untuk memberikan persepsi kepada masyarakat.

“Sekiranya persepsi yang ditunjukkan banyak negatif iaitu banyak yang highlights tentang isu mereka yang telah mendapat vaksin meninggal dunia, dapat vaksin pun masih berjangkit, isu ini sebenarnya mendatangkan ketakutan kepada ramai orang.

“Sebaliknya sudah berjuta-juta penduduk dunia ini, ramai yang sudah mendapat vaksin ini mereka sihat, dilindungi, tidak mendapat kesan sampingan, tidak mendapat komplikasi yang teruk sekiranya berjangkit.

“Ramai (yang sihat) dibandingkan dengan jumlah yang sedikit meninggal dunia atau mendapat komplikasi disebabkan oleh vaksin.

“Jadi persepsi yang dimainkan oleh media, kadang-kadang mereka yang forward berita-berita sebegini ada tujuan (objektif) dia tersendiri untuk mengurangkan keyakinan rakyat serta ada agenda mereka sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2021

- Advertisement -