
KANGAR: “Doktor, turun cepat! Pakcik Ali tiada respon, kami donning dulu tau.. Terbayang-bayang detik cemas resusitasi dan CPR dalam pakaian PPE,” ujar Dr Wan Mohd Redzuan Wan Hassan.
Itu antara pengalaman seorang petugas barisan hadapan di sebuah hospital di sini. Beliau ditugaskan menjaga pesakit Covid-19 yang stabil dan separa stabil.
Menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan pesakit Covid yang meninggal di depan mata, kata Dr Wan Mohd Redzuan, ia memberikan kesan emosi dan mimpi ngeri buatnya dan rakan sejawat.
“Pengalaman kali pertama dan terakhir saya, sepanjang bekerja hampir setahun di wad Covid-19 yang memang saya tak kan lupa.
“Rondaan wad sebelah pagi berjalan seperti biasa hari tersebut. Selesai kerja, sekitar jam 12 tengah hari kami pun naik ke bilik doktor berehat melepaskan lelah sebelum bersiap untuk rondaan sebelah petang.
“Tiba-tiba rakan saya dimaklumkan melalui panggilan telefon ada pesakit yang tidak memberi respon, baru saja pagi tadi dia bersembang seperti biasa dengan kami, sekarang sudah tidak sedarkan diri,” katanya, di sini.
Perkataan seperti tanda vital (vital sign), Rawatan Pemulihan Sistem Jantung (CPR), Kelengkapan Pelindung Diri (PPE), Unit Rawatan Rapi (ICU) dan proses mengembalikan semula fungsi organ manusia (resus) menjadi kebiasaan buat petugas di hospital.
“Kami pun bergegas turun. Ya, memang pakcik tadi tidak memberi sebarang respon bila dipanggil oleh staf yang edarkan makanan tadi. Mata tertutup rapat.
“Kakak Hanim (seorang jururawat), memeriksa vital sign dulu, jangan mula CPR lagi. Kita tidak berpakaian lengkap (PPE) untuk menjalankan proses resus, kami akan berpakaian lengkap sekarang,” ceritanya lagi ketika berhadapan detik cemas ketika itu.
Menurut Dr Wan Mohd Redzuan, beliau ditugas khas untuk menjaga pesakit stabil dan separa stabil di wad.
Katanya, sebelum keadaan pesakit terjejas lebih teruk, beliau dan rakan-rakan akan segera rujuk dan hantar ke ICU hospital.
Hal ini katanya, kelengkapan yang ada sangat terhad, proses resusitasi seperti CPR dan memasukkan tiub memerlukan PPE khas kerana ia melibatkan penghasilan partikel udara dari hidung dan mulut pesakit yang mengandungi virus Covid. Kemungkinan besar boleh menjangkiti mereka.
“Inilah antara perkara yang meninggalkan mimpi ngeri dan kesan mendalam buat saya dan rakan yang terlibat pada petang tersebut.
“Ironinya kami tahu yang pesakit memerlukan CPR secepat mungkin, setiap saat yang berlalu sangat berharga peratus untuk pesakit selamat semakin berkurang setiap detik, kegagalan fungsi otak boleh berlaku bila-bila masa sahaja.
“Namun kami hanya mampu berdiri melihat pesakit kerana PPE yang ada tidak sesuai untuk resusitasi, sementara menunggu rakan lain dan pakar masuk mengunakan PPE khas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/5/2021











