
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa di negara ini perlu menjelaskan kewajaran membenarkan pesawat pengintip Israel melalui ruang udara Malaysia.
Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, mengapa Malaysia membenarkan pesawat pengitip tersebut melalui ruang udara negara, sedangkan Indonesia secara tegas melarang pesawat itu menceroboh ruang udara mereka.
Kata beliau, penjelasan oleh seorang YouTuber kononnya penceroboh ruang udara suatu perkara normal walaupun tidak mendapat kebenaran negara tidak sewajarnya berlaku.
“Ada YouTuber cuba menormalisasikan keadaan dengan mengatakan bahawa secara normal penerbangan di ruang udara antarabangsa diperbolehkan walaupun tidak mendapat kebenaran negara. Itu sangat mendukacitakan.
“Dikatakannya lagi ia seperti pesawat penumpang yang lain. Sedangkan pesawat Israel banyak kali sebelum ini melalui ruang udara Malaysia.
“Kalau benar pun penerbangan sebelum ini ialah pesawat penumpang boleh lagi consider, tetapi ini jelas pesawat pengintip,” katanya pada lontaran di media sosialnya hari ini.
Media semalam melaporkan Boeing milik Israel dikesan merentasi ruang udara Putrajaya sebelum mendarat di pangkalan tentera udara Singapura.
Pesawat jenis Boeing 737-400 bernombor 4X-A00 milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) iaitu sebuah syarikat kontraktor berpangkalan di Tel Aviv.
Pesawat Boeing 732-400 milik syarikat IAI-Elta merupakan pesawat perisikan elektronik yang direka untuk menampung sistem perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersial.
Dr Mohd Syakir juga berkata, semua maklumat negara termasuk peralatan teknologi ketenteraan di Malaysia sangat mudah dikesan oleh pesawat terbabit.
“Jangan mengaitkan keadaan ini dengan hanya menyindir orang kita dengan mengatakan bahawa seolah-olah kita yang mahukan jawapan mengenai kenapa ruang udara kita mudah dimasuki dikatakan pula sebagai penakut.
“Rakyat perlukan penjelasan. Sila beri penjelasan yang jelas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/5/2021











