Manfaat media sosial sokong perjuangan Palestin

- Advertisement -

KAHERAH: Umat Islam di seluruh dunia hendaklah memain peranan dan usaha bagi mempertahankan kota suci umat Islam di Baitul Maqdis.

Aktivis Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir Ustaz Mohamad Farhan Mohd Ariff berkata, orang Islam hendaklah sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah kerana doa merupakan senjata utama bagi orang mukmin.

Katanya, digalakkan juga membaca doa qunut nazilah pada setiap solat fardu ketika kita sedang mendekatkan diri kepada Allah.

- Advertisement -

“Selain itu membantu ekonomi mereka dengan cara memberi sumbangan kewangan kepada rakyat Palestin yang sangat terjejas.

“Gunakan media sosial bagi memberi sokongan kepada Palestin seperti menyebarkan maklumat tentang kejahatan tentera zionis Israel yang menyerang dan melakukan kezaliman ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ribat Mahabbah anjuran Keluarga Pelajar Kelantan Mesir, baru-baru ini.

Program Ribat Mahabbah dianjur di bawah Unit Biah Solehah, disertai pelajar-pelajar Kelantan yang berada di Kaherah.

Pada akhir Ramadan lepas, umat Islam di Gaza berdepan dengan serangan udara dan peluru berpandu oleh tentera zionis Israel sehingga lebih 200 penduduk tempatan menjadi korban.

Selain itu, banyak harta benda milik penduduk Palestin musnah termasuk ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Mohamad Farhan juga berkata, menjaga saf kesatuan umat Islam merupakan perkara penting bagi umat Islam.

“Kita perlu bersatu dalam usaha mempertahankan bumi Palestin kerana kesatuan adalah kekuatan untuk mengalahkan musuh Islam.

“Adalah menjadi kewajiban ke atas orang Muslim untuk mempertahankan bumi Palestin daripada zionis Israel yang mahu merampas kesuciannya,” ujar beliau.

Surah Ali Imran: 160 Allah Taala memberi peringatan yang bermaksud: “Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.” – HARAKAHDAILY 27/5/2021

- Advertisement -