Jangan buang masa tanpa daftar program vaksinasi

Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali
- Advertisement -

PADANG SERAI: Jangan ada penduduk membuang masa tanpa mendaftar program vaksinasi ketika negara berada di saat genting dengan peningkatan penularan wabak Covid-19 sekarang.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan, Pembasmian Kemiskinan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, setiap orang perlu ada rasa tanggungjawab memastikan jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

Katanya, orang ramai yang belum berdaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 hendaklah bertidak segera sebagai usaha menyelamat diri daripada jangkitan wabak berkenaan.

- Advertisement -

“Individu yang sudah menerima suntikan vaksin bukan sahaja dapat menyelamatkan dirinya malah mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain.

“Ia juga dapat menyelamat masyarakat daripada terus terkesan dengan jangkitan yang dilihat semakin membimbangkan akhir-akhir ini.

“Saya juga berharap golongan ibu memastikan anak-anak dan ahli keluarga mereka mendaftar sebagai menerima vaksin seperti yang disarankan kerajaan,” katanya di sini.

Semalam sebuah akhbar melaporkan 10,827 penduduk di Kedah gagal hadir menerima suntikan vaksin seperti ditetapkan.

Siti Ashah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah berkata, pihaknya turut terkilan dengan sikap segelintir pihak yang tidak serius berusaha mendapat suntikan vaksin.

Katanya setiap orang tidak terlepas daripada dijangkiti wabak memandangkan Kedah sekarang mencatatkan kes positif begitu tinggi setiap hari.

“Sikap begitu amat merugikan sedangkan ramai lagi menunggu giliran untuk menerima vaksin. Sepatutnya yang tidak hadir itu dapat diisi mereka yang betul-betul berminat,” kata beliau.

Beliau turut mengingat rakyat Kedah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandang kes positif harian di negeri itu mencecah lebih 500 kes.

“Jangan keluar sekiranya tiada keperluan. Sentiasa menjaga kesihatan dan sekiranya bergejala segera berjumpa doktor.

“Kami juga berharap kaum ibu tidak membawa anak-anak bersama ketika keluar memberi barangan keperluan harian di kedai.

“Manfaat banyak masa di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang dengan membaca al-Quran, berzikir, berselawat dan bermunajat ke hadrat Allah agar musibah Covid ini segera berakhir,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 27/5/2021

- Advertisement -