Rakyat perlu ambil vaksin, cegah jangkitan Covid-19

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Malaysia perlu kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 kerana ia sekurang-kurangnya dapat membantu menghindari daripada jangkitan Covid-19.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, PAS menyeru seluruh rakyat di negara ini menyokong program vaksinasi yang dilaksana kerajaan sebagai salah satu ikhtiar untuk memutuskan rangkaian Covid-19.

Menurut beliau, rakyat seharusnya mengambil langkah proaktif baik di peringkat individu dan keluarga bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

- Advertisement -

Katanya, pengambilan vaksin Covid-19 bertujuan untuk mencegah jangkitan Covid-19 dan ia wajar dilakukan bagi melindungi diri dan orang lain.

Bagaimanapun, langkah itu tidak dapat dilaksanakan dengan baik jika tidak mendapat kerjasama daripada semua anggota masyarakat.

Mengulas lanjut katanya, pertambahan angka kes jangkitan dan bilangan kematian Covid-19 meningkat secara drastik menunjukkan negara mengalami keadaan amat kritikal.

“Oleh itu kerajaan telah memikirkan pelbagai langkah yang sesuai dan terbaik untuk memastikan negara bebas daripada wabak dengan adanya program vaksinasi.

“Kerajaan juga membelanjakan jutaan ringgit untuk memastikan kesihatan rakyat dapat dijamin dengan cara yang terbaik. Maka rakyat diseru agar menyahut seruan ini supaya kita dapat segera bebas daripada wabak,” katanya.

Hasil kajian di England dan Scotland menunjukkan analisis Public Health England mendapati pengambilan vaksin dapat mengurangkan risiko jangkitan sehingga lebih 70 peratus selepas suntikan pertama dan 85 peratus selepas suntikan kedua.

Malah, kajian berasaskan data sebenar itu menunjukkan mereka yang menerima pelalian dan dijangkiti Covid-19 kurang berisiko untuk meninggal dunia atau dimasukkan ke hospital.

Justeru itu kata Kamaruzaman perkara itu juga membuktikan keberkesanan vaksin dalam mengurangkan risiko jangkitan dan setiap rakyat tidak seharusnya risau serta bimbang dengan pengambilan vaksin.

Sementara itu, beliau berharap seluruh masyarakat khusunya di Johor, Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang mengambl kesempatan mendaftarkan diri membuat janji temu Vaksin AstraZeneca yang dibuka bermula hari ini melalui laman web vaksincovid.gov.my

Dalam pada itu katanya, seruan amalan self lockdown juga harus disambut baik supaya melakukan sendiri sekatan pergerakan untuk menyekat peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 yang menyaksikan bilangan kes harian kini mencecah lebih 6,000 kes setiap hari. – HARAKAHDAILY 26/5/2021

- Advertisement -