Kasino, pusat judi perlu ditutup sepenuhnya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang melahirkan rasa kecewa dengan pembukaan kasino serta pusat judi di musim pandemik yang makin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, isu pembukaan kasino mendapat perhatian yang meluas setelah terdapat kluster Covid-19 yang berpunca daripada sebahagian pelancong yang positif dari Alor Setar, Kedah telah pergi melancong ke Genting Highlands melalui konsep gelembung perjalanan domestik atau travel bubble untuk sektor pelancongan.

- Advertisement -

Oleh itu, katanya PAS Pulau Pinang berharap kerajaan mengambil pengajaran daripada kluster itu dan memantau pengoperasian kasino dan juga pusat judi pada musim pandemik sekarang.

Tambahnya, PAS Pulau Pinang juga merakamkan sekalung penghargaan kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas arahan segera dan tegas penutupan serta merta kasino di Genting Highlands.

“Pada kesempatan ini juga, kami menzahirkan kekaguman dan syabas dengan tindakan segera daripada anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) yang telah menjalankan serbuan ke atas beberapa premis perjudian dalam ‘Ops Dadu Bersepadu’ di daerah Seberang Perai Utara baru-baru ini.

“Kami melihat situasi ini sebagai satu petanda dan usaha yang tegas daripada kerajaan hari ini agar pihak berkuasa menguatkuasakan lagi pengharaman judi dan juga kasino lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, judi adalah satu perbuatan yang tidak bermoral bahkan diharamkan dalam Islam yang perlu disekat aktivitinya.

Ini, ujarnya kerana ia hanya akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat negara ini. – HARAKAHDAILY 26/5/2021

- Advertisement -