
KOTA BHARU: Semua pihak termasuk pimpinan pelbagai peringkat perlu bersama kerajaan untuk memberi kesedaran berhubung kebaikan vaksinasi yang dilaksana di seluruh negara sekarang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof, berkata ia amat penting bagi memberi kesedaran masyarakat berhubung perkara itu yang mana masih ramai tidak begitu peka dengan program vaksinasi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang turut melahirkan rasa kesal apabila didedah hampir 10,000 rakyat Kelantan tidak menghadiri program imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan.
“Saya memang rasa terkejutlah dengan perkara ini yang sewajarnya tidak berlaku khususnya untuk mendapatkan dos kedua.
“Bagi warga emas pula kita berharap sama-samalah kita mendekati, menasihati dan tolong bawa mereka ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” ujarnya di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung hampir 10,000 rakyat Kelantan gagal mendapatkan vaksin Covid-19 mengikut jadual ditetapkan khususnya dos kedua.
Bagaimanapun Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin berkata antara punca ketidakhadiran mereka adalah disebabkan masalah kesihatan.
Menurutnya juga terdapat dalam kalangan mereka yang tidak dapat hadir disebabkan masalah peribadi dan menunda kepada tarikh lain.
Siti Zailah berharap perkara itu diharap tidak berulang lagi dengan mengambil kira wabak sedang menular sekarang termasuk juga di Kelantan dengan jumlah kes harian yang tinggi.
“Saya berharap semoga rakyat Kelantan lebih peka terhadap masalah kesihatan khususnya Covid-19 yang semakin mendadak naik sekarang,”ujarnya.
Beliau turut melahirkan rasa sedih apabila 48,621 kanak-kanak di negara ini juga dijangkiti Covid-19 sehingga semalam.
Untuk itu, katanya diharap kaum ibu khususnya yang menjadi petugas barisan hadapan perlu memastikan anak masing-masing selamat daripada jangkitan wabak Covid.
“Para ibu mesti patuhi penjarakkan sosial bagi memastikan keluarga selamat khususnya anak-anak. Ibu merupakan petugas barisan hadapan di rumah masing-masing,” ujarnya.
Siti Zailah juga memberitahu vaksin adalah ikhtiar untuk menambah ketahanan badan bagi menghadapi Covid-19, di samping bermunajat, solat hajat dan menjaga kebersihan dan SOP. – HARAKAHDAILY 26/5/2021











