
SAYA mendapat banyak aduan dan keluhan berkaitan sekatan konkrit di jalan Jabor-Jerangau. Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh orang ramai yang menggunakan laluan tersebut khususnya yang berulang alik ke tempat kerja.
Ada juga yang melibatkan urusan keluarga, urusniaga dan lain-lain. Saya mohon orang ramai dapat memahami keperluan sekatan tersebut dibuat. Daerah Kuantan telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selama 2 minggu bermula semalam.
Ia bagi memelihara kepentingan ramai dalam mendepani krisis jangkitan COVID-19 yang meningkat mendadak di daerah ini khususnya sejak beberapa minggu yang lalu. Kelonggaran dan pertimbangan banyak diberikan oleh pihak berkuasa kepada sektor swasta dan mereka yang perlu bekerja khususnya di sektor industri.
Pihak polis telah membuat tinjauan dan kajian yang sewajarnya di kawasan tersebut dan mereka mendapati tiada lokasi yang sesuai untuk menempatkan anggota bagi mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR).
Sekatan konkrit adalah pilihan terbaik untuk mengawal pintu masuk sempadan negeri. Pengguna dari kedua-dua belah sempadan masih boleh merentas sempadan melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dengan kebenaran pihak polis.
Ia memang mengambil lebih jarak dan masa, namun ia hanya untuk tempoh sementara sahaja. Saya mohon pihak majikan dapat memberikan sedikit kelonggaran kepada mereka yang terkesan, mungkin dari aspek jadual dan giliran kerja contohnya.
Saya percaya hal ini timbul mungkin kerana ramai yang tidak menjangka penutupan laluan tersebut kerana ia tidak ditutup dalam dua siri PKP sebelum ini. Saya harap semua pihak dapat memberikan pertimbangan yang rasional dan tidak terlalu emosional terhadap sekatan dan kuatkuasa yang terpaksa dilakukan ini.
Kita sedang berdepan krisis yang menjejaskan kepentingan awam dan kelompok besar masyarakat. Kesedaran dan kebersamaan semua pihak amat diperlukan dalam situasi ini. Kesabaran dan kerjasama tuan atau puan, saudara atau saudari amat saya hargai.
Salam hormat daripada saya,
YB ANDANSURA RABU
Ahli Dewan Negeri Beserah
25 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 25/5/2021











