Kezaliman berterusan terhadap Palestin dan inisiatif Aid4Palestine

- Advertisement -

NORMALISASI Arab-Israel pada tahun 2020 yang lalu memberi laluan mudah kepada Israel untuk terus melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin. Dalam krisis terbaru dan serangan Israel terhadap rakyat Palestin pada bulan Ramadan dan Syawal tahun ini adalah bukti kukuh terhadap perkara ini.

Pada era pentadbiran Presiden Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-45, terdapat beberapa buah negara Arab yang melakukan hubungan normalisasi dengan Israel. Ini berlaku terutama ketika pentadbiran Trump berada di penghujung penggal pemerintahannya. 

Kini Presiden Amerika Syarikat telah bertukar kepada Presiden Biden bermula pada 20 Januari 2021 yang lalu. Sememangnya kita mengharapkan agar rakyat Palestin akan mendapat pembelaan yang wajar pada era Presiden Biden ini. Tahun 2020 yang telah melabuhkan tirai telah menyaksikan pelbagai peristiwa pahit manis yang dilalui oleh masyarakat dunia.

- Advertisement -

Dunia Islam dilontarkan dengan pelan damai Arab-Israel yang dilakukan tanpa perundingan yang jitu dengan pihak Palestin. Pelan tersebut cuba diperkenalkan oleh mantan Presiden Amerika Syarikat, Trump, yang dikenali sebagai the Deal of the Century. Pelan kononnya yang ‘terbaik’ ini telah mengejutkan bukan sahaja rakyat Palestin tetapi juga masyarakat dunia.

Selepas pelan terburuk tersebut, sekali lagi kita dikejutkan dengan persepakatan negara-negara Arab seperti UAE dan Bahrain untuk mewujudkan hubungan normalisasi dengan negara haram Israel. Ia tidak terhenti kepada dua buah negara ini sahaja. Ia turut melibatkan negara Islam yang lain terutama negara-negara Arab di Timur Tengah.

Rentetan apa yang dilakukan oleh negara-negara Teluk dengan Israel, normalisasi ini turut ditawarkan kepada negara Sudan. Manakala terdapat juga negara Liga Arab lain yang turut mengikut jejak untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel ini iaitulah negara Maghribi.

Melihat Kembali di era 70-an, Liga Arab yang dianggotai 22 buah negara Arab merupakan sebuah organisasi yang begitu tegas dan keras dalam menentang penjajahan Israel ke atas Palestin. Sikap tegas mereka itu sehinggakan tercetusnya perang 6 Hari pada tahun 1967 antara Mesir, Syria, dan Jordan dengan rejim Zionis serta sehingga berlakunya Perang Yom Kippur 1973.

Namun semua ini telah berubah selepas pasca kekalahan negara Arab dengan rejim Zionis. Setelah kekalahan negara Arab ini, Mesir yang dipimpin oleh Presiden Anwar Saddat menerima pelawaan untuk menjalinkan hubungan normalisasi dengan Israel pada 17 September 1978.

Hal ini telah menyebabkan kesungguhan Mesir dalam membela rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan di tanah air mereka sendiri mula rapuh dek kerana terikat dengan segala isi Perjanjian Camp David 1978.

Bertitik tolak dari situ, negara Arab lain iaitu Jordan turut mengikut jejak langkah sekutunya dalam Perang Enam Hari iaitu Mesir untuk menjalinkan hubungan dengan Israel melalui Washington Declaration pada 26 Oktober 1994. Impaknya, Palestin telah kehilangan dua sahabat baik yang mana sebelum ini telah menjadi pembela utama mereka dalam menentang kezaliman Zionis di tanah air sendiri.

Kini, kesepakatan negara Arab teluk seperti UAE dan Bahrain untuk melakukan normalisasi dengan Israel menjadi tamparan buat rakyat Palestin. Perjanjian yang diberi nama Abraham Accords merupakan salah satu hubungan strategik yang cuba diatur oleh pentadbiran Trump.

Ia merupakan sebahagian daripada the Deal of the Century sebagai rancangan untuk mengawal semua negara Arab supaya tunduk kepada Israel. Pada hakikatnya, itu adalah perjanjian permusuhan kepada Palestin dan kejayaan bersejarah Israel untuk mewujudkan lebih banyak konflik di rantau Asia Barat. Ramai pemimpin dunia terutamanya dalam kalangan negara Islam telah menolak alasan hubungan normalisasi negara Arab ini dengan Israel.

Namun, UAE terus berdalih dengan mengatakan bahawa tujuan normalisasi itu  adalah untuk  menghentikan pelan perampasan Israel terhadap wilayah Tebing Barat Palestin. UAE turut mendakwa normalisasi UAE-Israel itu adalah untuk membantu rakyat Palestin dalam usaha mencapai kemerdekaan dan mempromosi perdamaian di Asia Barat.

Sebenarnya ia adalah suatu yang pelik apabila UAE mendakwa perjanjian itu bertujuan menghentikan perampasan wilayah Palestin. Itu jelas merupakan naratif yang salah. Rancangan Perdana Menteri Israel, Netanyahu, untuk secara haram merampas sepertiga dari Tebing Barat, seakan telah mendapat sokongan moral setelah normalisasi ini diumumkan. Pelan untuk perampasan Tebing Barat telahpun menjadi idaman Israel sejak sekian lama.

Pada hakikatnya, dakwaan UAE bahawa keputusannya menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel didorong oleh solidariti dengan rakyat Palestin tidak boleh diterima dan merupakan pengkhianatan terhadap kepentingan Palestin.

Hal ini diakui sendiri oleh Netanyahu bahawa mereka tidak berhasrat untuk memberhentikan proses pengambil alihan Tebing Barat namun sekadar menangguhkan pelaksanaannya buat sementara waktu. Hal ini telah menyebabkan penjajahan Israel terhadap Palestin tidak akan selesai malah kezaliman yang mereka lakukan akan bertambah buruk.

Jika kita lihat kepada istilah normalisasi itu sendiri, kita dapat fahami bahawa sesuatu perkara itu akan dilihat normal atau seperti kebiasaan. Itulah yang terjadi apabila perjanjian ini ditandatangani, semua kezaliman yang dilakukan oleh tentera Zionis ke atas peduduk Palestin akan dilihat biasa dan tidak perlu ditentang.

Malah perjuangan rakyat Palestin juga akan dilihat sia-sia natijah daripada tiada lagi negara atau pihak yang akan membelanya. Sekarang ini, terdapat lebih kurang 160 buah negara yang telah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah manakala 31 buah negara lagi tidak mengakuinya sebagai sebuah negara. Daripada 31 buah negara ini, majoritinya ialah negara-negara anggota OIC dan dua buah negara sosialis iaitu Cuba dan Korea Utara.

Jika negara-negara ini juga turut mengiktiraf Israel, maka sejarah rakyat Palestin dan tanah airnya akan terus hilang. Jika munculnya pihak atau organisasi yang membawa slogan Free Palestine atau menentang penjajahan Israel maka mereka akan diletakkan sebagai sebuah gerakan teroris walaupun perjuangan mereka itu sebenarnya adalah untuk membebaskan tanah air sendiri.

Hal inilah yang dialami oleh HAMAS, sebuah parti politik yang memerintah di kawasan Semenanjung Gaza yang mana telah dicop oleh barat sebagai sebuah gerakan teroris. Tidak terhenti di situ, negara-negara yang menentang atau bersama dengan organisasi ini juga turut akan menerima dampak yang besar seperti embargo kerana dikatakan menyokong perjuangan gerakan atau kumpulan teroris ini.

Kita sedia maklum akan implikasinya apabila embargo dikenakan ke atas sesebuah negara, pastinya negara tersebut akan terus mundur dalam perbagai sudut terutamanya ekonomi. Inilah kesan daripada normalisasi yang dijalankan oleh negara Arab kini yang mana kesan yang besar akan dibayar oleh rakyat Palestin sendiri.

Oleh yang demikian, perbincangan berkaitan wajarkah normalisasi Arab-Israel pastinya dapat dijawab oleh para pembaca sendiri. Isu yang melibatkan Baitul Maqdis atau istilah yang diperkenalkan oleh Prof Abd al-Fattah El-Awaisi iaitu Islamicjerusalem haruslah dilihat oleh masyarakat Muslim khususnya dan dunia umunya sebagai sebuah isu yang patut diketengahkan dan diperjuangkan. Ini kerana kezaliman yang dilakukan oleh rejim zionis itu merupakan sesuatu yang salah dan tidak berperikemanusian.

Di samping itu, Baitul Maqdis ini juga menjadi sebuah tempat yang begitu dekat dengan hati umat Islam kerana di sinilah tempat berlakunya peristiwa Israk Mikraj dan tempat kelahiran beberapa orang Nabi terdahulu.

Sejarah telah menyaksikan bahawa rantau ini pernah berada dalam keadaan aman dan damai di bawah pemerintahan umat Islam pada era awal pemerintahan Islam dan juga pada era Salahudin al-Ayyubi. Marilah kita bergerak untuk mendapatkan semula keamanan bagi rantau ini sepertimana yang pernah berlaku pada era pemerintahan Islam tersebut.

Dalam krisis terbaru yang melibatkan serangan selama 11 hari Israel terhadap rakyat Palestin, seluruh dunia bangkit mengutuk tindakan mereka. Demonstrasi besar-besaran dilakukan oleh penduduk dunia tidak kira bangsa dan agama, dari negara barat seperti UK, AS, Perancis hinggalah ke timur seperti negara Jepun. Ini memberikan tamparan hebat kepada kepada Israel dan menjejaskan imej mereka di peringkat antarabangsa.

PROF. DR. MOHD ROSLAN MOHD NOR

Di Malaysia, di bawah inisiatif Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melancarkan kempen Aid4Palestine di mana kutipan dana telah melebihi RM16 juta. Komitmen yang dinyatakan bahawa 100 peratus daripada kutipan ini akan disalurkan kepada Palestin adalah sesuatu yang harus dibanggakan.

MOHAMAD FIKRI MOHD BAKRI

Sudah tentu sumbangan tersebut boleh digunakan untuk membangun segala prasarana yang musnah dalam serangan yang dilakukan oleh Israel. Kami percaya dana-dana ini boleh digunakan untuk rawatan perubatan, membangunkan masjid, sekolah, rumah dan kemudahan awam lain untuk kegunaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman dan keganasan rejim zionis itu. 

PROF. DR. MOHD ROSLAN MOHD NOR
Ketua, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR)

MOHAMAD FIKRI MOHD BAKRI
Mahasiswa, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -