
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa kemalangan membabitkan dua buah tren transit aliran ringan (LRT) berhampiran stesen KLCC dan Kampung Baru, semalam.
Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, pihaknya turut berasa pilu dan sedih atas kejadian itu yang telah mencederakan 47 penumpang dan 166 yang dilaporkan cedera ringan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya masih bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Dewan Muslimat PAS Malaysia telah mendapat perkhabaran tentang kejadian perlanggaran yang berlaku antara dua keretapi transit aliran ringan (LRT) dan salah satunya membawa penumpang seramai 213 penumpang.
“Daripada kejadian tersebut telah dilaporkan seramai 47 orang yang telah mengalami cedera parah dan 166 orang cederan ringan.
“Walaubagaimanapun, syukur kerana semua mangsa telah selamat dikeluarkan dan tidak dilaporkan sebarang kematian,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau dalam masa sama mewakili DMPM berharap pihak pengurusan LRT untuk lebih berhati-hati dalam mengendalikan operasi keretapi selepas ini.
“Semoga semua mangsa diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya.
Semalam, 24 Mei, dilaporkan dua buah tren bertembung berdekatan stesen KLCC dan Kampung Baru dengan salah satunya dipercayai membawa 213 penumpang.
Tren berkenaan yang dalam perjalanan dari Gombak, dilaporkan bertembung dengan tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang dan dipercayai mengalami masalah teknikal. – HARAKAHDAILY 25/5/2021











