
KUALA LUMPUR: YADIMart boleh melangkah dengan lebih jauh sebagai pesaing yang sihat dalam sektor peruncitan dan pemborongan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri melahirkan keyakinan itu melihat kepada sambutan masyarakat sekitar dan harga yang kompetitif.
“Sehingga hari ini, agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya telah bergiat aktif dalam sektor peruncitan melalui YaPEIM Smart, YADIMart dan Kedai Rakyat MAIWP,” ujarnya menerusi hantaran di laman Faceook beliau, malam tadi.
Beliau melakukan lawatan mengejut ke YADIMart di Sri Kembangan, Selangor, petang semalam,
Menurutnya, idea penubuhan YADIMart itu bertitik tolak daripada Majlis Perjumpaan NGO Islam bersama Perdana Menteri pada bulan September 2020.
Katanya, penubuhan pasar raya itu juga merupakan sebahagian daripada pelan kemapanan kewangan YADIM bagi memastikan YADIM mampu untuk menjana pendapatan yang bakal dimanfaatkan dalam usaha dakwah dan kebajikan.
Tambahnya, pasar raya pertama YADIM dengan keluasan 5,880 kaki persegi ini menjual lebih dari 5,000 produk segar dan keperluan isi rumah.
“Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera Muslim diberi keutamaan untuk membekalkan produk mereka di YADIMart selain daripada produk berjenama yang popular bagi isi rumah di Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata, selain membeli belah di YADIMart, para pelanggan boleh juga meletakkan barangan yang dibeli di rak YADIM Foodbank yang disediakan.
Menurutnya lagi, mereka yang tidak berkemampuan boleh mendapatkan barangan yang diingini secara percuma. – HARAKAHDAILY 24/5/2021











