Terap konsep muraqabah jayakan ‘self lockdown’

- Advertisement -

ALOR GAJAH: Timbalan Pesuruhjaya I PAS Negeri Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail menyarankan umat Islam menerapkan konsep ‘muraqabah’ dalam melaksanakan ‘self lockdown‘ untuk mengawal Covid-19.

Katanya, Islam memperkenalkan muraqabah yang bererti sentiasa merasakan diri diperhatikan oleh Allah SWT, dan ia merupakan satu sifat terpuji yang seharusnya ada pada semua umat Islam.

Menurutnya, apabila sifat muraqabah sebati di dalam kehidupan seharian manusia, mereka akan sentiasa melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT walaupun berada seorang diri.

- Advertisement -

Tambahnya lagi, dengan berpegang kepada konsep tersebut, umat Islam akan faham tentang betapa pentingnya menjaga segala perbuatan memandangkan kesemua tindak-tanduk akan dihisab dan dibalas di akhirat nanti.

“Sehubungan dengan wabak Covid-19 yang menunjukkan angka yang semakin mencemaskan ini, saya ingin mengaitkan konsep ‘muraqabah’ ini dengan saranan kerajaan iaitu ‘sekatan pergerakan kendiri’ atau self lockdown ini untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 ini.

“Masing-masing perlu berusaha melaksanakan self lockdown ini dan prosedur operasi standard (SOP) yang lain kerana merasakan betapa bahayanya wabak ini, bukan hanya semata-mata kerana saranan dan arahan dari kerajaan,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.

Tambahnya lagi, ‘muraqabah’ tidak menjadikan seseorang itu melakukan dosa secara senyap-senyap.

“Maka jika konsep self lockdown ini diamalkan dengan prinsip ini, maka tidak timbul lagi persoalan rakyat hanya patuh kepada SOP di hadapan pihak penguatkuasa sahaja tetapi apabila tanpa pengetahuan pihak penguatkuasa, semua SOP dilanggar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -