
KOTA BHARU: Pelbagai agenda kerajaan bagi memperluaskan program vaksinasi perlu mendapat dukungan penuh rakyat untuk memutus segera rantaian Covid-19.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, program suntikan vaksin diharap dapat memutuskan penularan wabak yang begitu membimbangkan sekarang.
Malah kata beliau kira-kira hampir 10,000 rakyat di Kelantan dikesan gagal hadir bagi menerima suntikan vaksin sehingga Isnin lepas.
“Perkara itu juga amat mendukacitakan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berusaha sebaiknya bagi proses penyediaan vaksin dan sebagainya untuk diberikan kepada rakyat.
“Apa yang menjadi masalah sekarang setelah mereka mendaftar tetapi gagal hadir menerima suntikan. Malah memberi pelbagai alasan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya apa yang berlaku itu memberi kerugian kerana vaksin harganya bukannya murah.
Dan apabila dibawa keluar daripada tempat simpanan kata beliau ia boleh merosakan vaksin tersebut apabila tidak jadi diberi suntikan kepada penerimanya.
“Malah Jabatan Kesihatan bersusah payah menyediakan dan mengatur prosedur untuk menyediakan suntikan vaksin, namun sampai masanya ada yang tidak hadir,” ujarnya.
Oleh itu beliau mengajak rakyat menyokong program vaksinasi kerana ia ada hubung kait dengan pemulihan ekonomi negara dan mengembalikan semula kehidupan rakyat teruk yang terjejas akibat pandemik sekarang.
Mengulas lanjut Dr Izani juga berkata, tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kelantan masih di tahap tidak memuaskan dan agak mengecewakan.
Oleh itu beliau berharap semua lapisan masyarakat terus mematuhi SOP selain tidak menyebarkan sebarang dakyah atau berita palsu yang kononnya vaksin boleh memudaratkan kesihatan. – HARAKADAILY 24/5/2021











