
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad mengingatkan umat Islam supaya mengamalkan Qunut Nazilah dalam solat subuh, membaca surah Yasin serta istighfar sebanyak 100 kali sehari supaya wabak Covid-19 diangkat oleh Allah SWT daripada negara ini.
Menurut beliau jumlah kes Covid-19 yang melanda negara setakat semalam sebanyak 512,091 di mana setiap 60 orang akan ada seorang dijangkiti wabak itu telah mengundang keresahan rakyat.
“Keadaan ini sangat membimbangkan kita. Kita kena jaga diri kita dan diri orang di sekeliling kita. Seperti frontliner yang mungkin dari kalangan ibu, ayah, kakak, adik atau jiran kita.
“Mereka bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab sebagai frontliners. Hampir setahun lebih mereka berkhidmat tanpa mendapat cuti. Mereka berkhidmat 24 jam untuk melawan serangan wabak Covid-19,” katanya menerusi ucapan di laman Facebook beliau, hari ini.
Beliau merayu kepada semua pihak supaya memberi kerjasama kepada frontliners dan kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan cara yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Rakyat juga, kata beliau mesti melaksanakan lockdown kendiri iaitu menjaga diri sendiri sebagaimana yang sering diingatkan oleh kerajaan.
Katanya, semua pihak perlu bersedia menjalani pasca norma baharu iaitu berada di dalam rumah serta menghentikan kerja perkhidmatan yang melibatkan ramai orang.
“Elakkan dari berhimpun dengan masyarakat walaupun ketika di masjid dengan tujuan untuk menyampaikan ceramah.
“Sentiasa menjaga diri dari kemudaratan dengan memakai pelitup muka (mask) di samping menambahkan bacaan Qunut Nazilah di dalam solat subuh agar wabak ini diangkat oleh Allah,” katanya.
Menurut beliau, SOP yang disarankan oleh kerajaan adalah salah satu cara yang berkesan untuk memutuskan rantaian Covid-19. – HARAKAHDAILY 24/5/2021











