
ARAU: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang dilaksanakan kerajaan dianggap tepat pada masanya memandangkan peningkatan kes positif pesakit Covid-19 semakin meningkat sekarang.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, langkah kerajaan melaksanakan PKP 3.0 amat wajar sekali supaya pergerakan orang ramai dapat dikawal untuk membendung penularan kes.
“Elok dah apa yang kerajaan laksanakan sekarang, cumanya rakyat perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya di sini.
Dalam pada itu, katanya ketika kerajaan melaksanakan PKP 1.0, rakyat terutamanya yang bekerja sendiri mengalami kesan berganda akibat kerana pendapatan mereka terjejas.
Kata beliau golongan terbabit termasuk pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (PKS), peruncitan, pemandu teksi, hotel dan pengiat industri pelancongan.
“Jika kerajaan laksana seperti PKP 1.0, golongan yang mencari pendapatan secara harian akan terjejas teruk, terutamanya rakyat dalam kalangan B40,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, PKP 3.0 lebih terbuka kerana sektor ekonomi masih boleh beroperasi dengan pematuhan SOP yang ketat.
Menurutnya juga rakyat perlu jujur dan prihatin untuk bersama dengan kerajaan dalam membendung penularan kes Covid-19.
“Saya juga berharap rakyat terutamanya golongan warga emas segera mendapatkan vaksin di pusat pemberian vaksin yang disediakan selepas membuat pendaftaran.
“Memandangkan Perlis pun sudah menjadi zon merah, jadi saya menyeru supaya rakyat lebih agresif untuk mendapatkan vaksin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/5/2021











