MP agih keperluan harian di lokasi PKPD

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh mengagih keperluan harian kepada penduduk yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pauh Lima Banggu.

Ahli parlimen kawasan itu Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya mengagihkan sayur, ikan, telor dan keperluan lain kepada penduduk yang terbabit dengan PKPD semalam.

Katanya, di kawasan itu terdapat sebanyak 260 rumah dengan jumlah penduduk seramai 1,200 orang.

- Advertisement -

“Bilangan baru penduduk positif semalam seramai 30 orang. Dan jumlah terkumpul penduduk positif di kampung tersebut iaitu 124 orang.

“Manakala hasil ujian saringan yang dijalankan bilangan penduduk yang didapati negatif pula seramai 331 orang,” katanya pada kenyataan di sini semalam.

Baru-baru ini Menteri Kanan Pertahanan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaackob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu sehingga 1 Jun ini.

Jumlah penduduk di kedua-dua kampung seramai 1,032 orang. Susulan pelaksanaan PKPD, sebanyak 10 sekatan jalan raya (SJR) diadakan iaitu enam di Bachok dan empat di Kota Bharu.

Selain itu 12 laluan tikus turut ditutup bagi menyekat pergerakan penduduk di kawasan berkenaan.

Annuar yang Menteri Wilayah Persekutuan berkata, keperluan tersebut diagih kepada penduduk oleh anggota keselamatan yang bertugas di kawasan PKPD tersebut.

Anggota pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan PKPD Kampung Pauh Lima Banggu Kota Bharu iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) 12 orang, tentera (12 orang), RELA (12) dan APM (6).

Sehubungan itu Annuar berharap penduduk di kawasan terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. – HARAKAHDAILY 23/5/2021

- Advertisement -