Malaysia import 79 peratus bekalan daging

- Advertisement -

KOTA BHARU: Malaysia masih mengimport sebanyak 79 peratus keperluan daging bagi kegunaan tempatan dan masih jauh daripada peratusan disasarkan iaitu 30 peratus.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, disebabkan kekurangan bekalan tempatan, negara masih mengimport daging sejuk beku dari India.

- Advertisement -

Menurutnya, negara masih mengimport sepenuhnya daging sejuk beku dari negara terbabit memandangkan keperluan dalam negara tidak mencukupi.

Beliau bagaimanapun berkata rakyat di negara ini tidak perlu bimbang kerana bekalan daging tersebut dipastikan daripada sumber bersih dan rumah sembelih yang diluluskan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat kedai pengeluaran daging segar tempatan milik Duniadaging AlQuds di sini hari ini.

Sehubungan itu Che Abdullah berharap rakyat di negara ini yang berminat dalam perniagaan itu turut mengusahakan penjualan daging segar kerana ia amat tidak mencukupi.

Beliau juga berkata, pada tahun lalu, jumlah ternakan lembu di Malaysia sebanyak 659,317 ekor dan penggunaan hasilan ternakan daging lembu atau kerbau sebanyak 200,254.9 tan metrik.

Sedangkan tambah beliau pengeluaran hasil ternakan daging hanya 43,492.4 tan metrik.

“Antara cabaran utama negara pada masa kini adalah menyediakan keperluan daging segar bagi menampung permintaan tinggi.

“Perkara ini terjadi disebabkan populasi ternakan masih rendah dalam negara dan kebergantungan kepada sumber import,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/5/2021

- Advertisement -